KUALA LUMPUR 23 April – Eversendai Corporation Berhad meraih kontrak pembinaan keluli struktur bernilai AED1.1 bilion (kira-kira RM1.4 bilion) daripada Azizi Developments bagi projek Burj Azizi di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor portal Saudi Gulf Project.
Menurut laporan tersebut, kontrak berkenaan melibatkan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan struktur keluli bagi pembangunan pencakar langit bercampur yang disasarkan menjadi antara bangunan tertinggi di dunia.
Perjanjian itu dimeterai antara Pengerusi Azizi Developments, Mirwais Azizi dan Pengasas merangkap Pengerusi Eksekutif serta Pengarah Urusan Kumpulan Eversendai, Tan Sri A.K. Nathan.

Burj Azizi yang dirancang sebagai pembangunan bercampur dijangka muncul sebagai menara kedua tertinggi dunia, sekali gus menjadi mercu tanda baharu kepada landskap bandar Dubai.
Mirwais berkata, pemilihan Eversendai dibuat berdasarkan rekod prestasi kukuh syarikat itu dalam melaksanakan projek struktur keluli berskala besar dan kompleks di peringkat global.
“Kerjasama ini merupakan satu langkah penting dalam merealisasikan pembinaan Burj Azizi dengan memastikan standard kualiti dan keselamatan yang tinggi dipatuhi,” katanya.
Sementara itu, Nathan berkata, pihaknya komited untuk memanfaatkan kepakaran kejuruteraan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
“Kami berbesar hati diberi kepercayaan untuk melaksanakan kerja-kerja struktur keluli bagi projek ikonik ini, selaras dengan pengalaman kami dalam mengendalikan struktur yang mencabar dari segi teknikal,” katanya.
Eversendai merupakan penyedia perkhidmatan kejuruteraan dan pembinaan yang memberi tumpuan kepada kontrak turnkey keluli struktur, pembinaan loji janakuasa serta pembangunan bangunan tinggi, dengan operasi merangkumi Timur Tengah, Asia dan India. - DagangNews.com








