KUALA LUMPUR 28 Mei – Eversendai Corporation Berhad memperoleh empat projek baharu bernilai keseluruhan RM400 juta di Singapura dan India yang mengukuhkan lagi buku tempahan kumpulan itu.
Syarikat kejuruteraan struktur keluli itu berkata, projek berkenaan mencerminkan keupayaan teknikal serta rekod pelaksanaan projek berskala besar di pelbagai pasaran antarabangsa.
"Di Singapura, Eversendai menerima anugerah kontrak daripada Kajima Overseas Asia Singapore Pte Ltd bagi pembangunan bersepadu Toa Payoh.
"Projek itu melibatkan pembinaan poliklinik, perpustakaan, kemudahan sukan, stadium, taman bandar serta ruang bawah tanah yang merupakan sebahagian daripada pembangunan komuniti bersepadu," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Menurut syarikat itu, projek tersebut dijangka mengukuhkan lagi kehadiran kumpulan dalam segmen infrastruktur awam dan pembangunan bandar di Singapura.
Di India, kumpulan berkenaan memperoleh projek utama di Amaravati, Andhra Pradesh bagi pembinaan bangunan pejabat bersepadu yang akan berfungsi sebagai hab pentadbiran kerajaan negeri.
Projek itu melibatkan pembangunan menara 40 tingkat di bawah projek Secretariat Towers yang akan menempatkan pejabat peringkat ketua jabatan kerajaan negeri.
Eversendai berkata, reka bentuk bangunan tersebut menampilkan ciri kejuruteraan moden termasuk ruang dalaman tanpa tiang untuk memaksimumkan penggunaan ruang.
"Selain itu, struktur bangunan turut menggunakan gabungan teras tengah dan rangka luaran jenis diagrid yang meningkatkan kecekapan struktur serta memberi nilai seni bina lebih tinggi.
"Penggunaan dek logam komposit bersama rangka keluli membolehkan proses pembinaan lebih cepat serta mengurangkan beban struktur keseluruhan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Eversendai memperoleh kontrak daripada Larsen & Toubro Limited di Chennai bagi kerja struktur keluli rentang panjang untuk projek Prestige Tower Y di Mumbai.
Skop kerja merangkumi kerja struktur keluli, kejuruteraan, reka bentuk sambungan serta penyediaan lukisan terperinci projek berkenaan.
Selain itu, kumpulan turut menerima projek pembangunan kediaman tinggi Dhuleva One 50 di Malabar Hill, Mumbai daripada The New Era Agencies Private Ltd melalui kontrak jenis kos tambah.
Eversendai berkata, projek-projek baharu ini mengukuhkan lagi keupayaan kumpulan dalam melaksanakan projek kejuruteraan kompleks dan bernilai tinggi.
Syarikat itu berkata setiap projek dilaksanakan dengan penekanan kepada keselamatan, kualiti dan ketepatan masa penyiapan.
Menurutnya, kumpulan kini disokong oleh buku tempahan yang kukuh serta aliran tender yang aktif di pelbagai pasaran utama.
Selain itu, permintaan terhadap kepakaran kejuruteraan struktur keluli kumpulan terus kekal stabil walaupun keadaan pasaran global mencabar.- DagangNews.com








