ES Sunlogy raih kontrak RM34 juta daripada Atlantic Blue bagi pembangunan sistem solar di Kedah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ES Sunlogy raih kontrak RM34 juta daripada Atlantic Blue bagi pembangunan sistem solar di Kedah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mac - ES Sunlogy Bhd menerusi Savelite Engineering Sdn Bhd memperoleh kontrak RM34 juta daripada Atlantic Blue Sdn Bhd bagi pembangunan sistem solar fotovoltaik (LLSPV) berskala besar 29.99MWac untuk program kuasa hijau korporat di Padang China di Kulim, Kedah.

 

Kumpulan itu berkata, skop kerja projek itu merangkumi perolehan, pembinaan dan pentauliahan kontrak termasuk tetapi tidak terhad kepada pembekalan, pemasangan, pentauliahan dan ujian  Kemudahan Saling Sambungan SPP Projek (SPPIF), Kemudahan Saling Sambungan TNB (TNBIF) dan Kabel Bawah Tanah daripada SPPIF kepada TNBIF.

 

"Tarikh operasi awal kemudahan itu dijangka pada 29 Mei 2025, manakala tarikh operasi komersial dijadualkan pada 30 Jun 2025," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

es sunlogy

 

Penerimaan surat anugerah oleh Savelite dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih sesaham, pendapatan sesaham dan penggearan syarikat.

 

ES Sunlogy tidak meramalkan sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko operasi biasa yang berkaitan dengan projek.

 

Bagaimanapun, kumpulan akan mengambil langkah yang perlu untuk mengurangkan risiko apabila ia berlaku. - DagangNews.com