ES Sunlogy raih kontrak RM13.7 juta kerja elektrik dua projek pembinaan di Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ES Sunlogy raih kontrak RM13.7 juta kerja elektrik dua projek pembinaan di Singapura

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 MacES Sunlogy Berhad memperoleh kontrak kerja elektrik bernilai RM13.72 juta bagi dua projek pembinaan di Singapura menerusi anak syarikatnya, ES Energy Solution Pte Ltd.


Kumpulan tersebut berkata, subsidiari berkenaan menerima surat penganugerahan (LOA) daripada Win Engineering Pte Ltd untuk melaksanakan kerja pemasangan elektrik melibatkan dua projek pembinaan.


Ia merangkumi pendawaian telefon, perlindungan kilat, pemasangan CATV, lampu luaran, sistem penggera kebakaran serta kerja elektrik sementara termasuk perkhidmatan pekerja elektrik berlesen.


"Kerja bangunan di Ang Mo Kio N7 C41A dengan 422 unit kediaman, dan pembinaan laluan bertingkat dari Marsiling Grove merentasi Woodlands Street 13," maklum ES Sunlogy kepada Bursa Malaysia.


Nilai kontrak tersebut jelas kumpulan berkenaan adalah sebanyak S$4.44 juta, bersamaan kira-kira RM13.72 juta yang berdasarkan kepada kadar pertukaran semasa iaitu RM3.09 bagi setiap S$1.


Menurut syarikat itu lagi, tempoh pelaksanaan keseluruhan projek tersebut adalah dari 9 September 2025 hingga 8 September 2029, dengan tarikh penyiapan yang berbeza mengikut blok bangunan dibina.


ES Sunlogy berkata, penerimaan kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada aset bersih sesaham, pendapatan sesaham serta tahap penggearan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.


"Bagaimanapun, pihak pengurusan menyifatkan kontrak berkenaan dijangka tidak memberi sebarang kesan secara ketara terhadap modal saham dan pegangan saham utama syarikat ini," katanya lagi.


Selain itu, syarikat tersebut turut memaklumkan tidak menjangkakan berlaku sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi biasa yang berkaitan dengan pelaksanaan projek pembinaan.


Dalam masa yang sama jelas ES Sunlogy, penerimaan LOA berkenaan turut tidak memerlukan apa-apa kelulusan daripada majoriti pemegang saham atau mana-mana pihak berkuasa kawal selia.


Lembaga pengarah syarikat berpandangan kontrak tersebut adalah dalam operasi perniagaan biasa kumpulan dan berada dalam kepentingan terbaik syarikat serta anak syarikatnya. - DagangNews.com