Epicon tuntut bayaran tertunggak RM6.98 juta dari Everprima Construction bagi projek perumahan di Melaka | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Epicon tuntut bayaran tertunggak RM6.98 juta dari Everprima Construction bagi projek perumahan di Melaka

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 25 Jun - Anak syarikat milik penuh Epicon Bhd, Transnational Builder Sdn Bhd (TBSB), memfailkan notis adjudikasi terhadap Everprima Construction Sdn Bhd (ECSB) bagi menuntut bayaran tertunggak sebanyak RM6.98 juta melibatkan projek perumahan yang telah siap dibina di Melaka.

 

Tuntutan itu difailkan pada 23 Jun 2025 di bawah Seksyen 9 Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 (CIPAA).

 

Menurut TBSB, tuntutan tersebut melibatkan bayaran bagi kerja yang telah siap dan baki bayaran yang ditahan daripada kontrak membina 114 unit rumah teres setingkat di Lot 109, Mukim Balai Panjang, Melaka Tengah, yang dianugerahkan pada Januari 2024.

 

"Syarikat telah menghantar tuntutan kemajuan akhir bernilai RM6.73 juta pada 31 Oktober 2024, bersama baki bayaran tertahan sebanyak RM256,500, iaitu separuh daripada jumlah keseluruhan RM513,000, namun ia masih belum dibayar oleh ECSB," katanya dalam satu kenyataan.

 

TBSB berkata, Sijil Penyiapan Praktikal (CPC) turut dikeluarkan pada 11 Disember 2024, mengesahkan bahawa semua kerja telah disiapkan sepenuhnya.

 

TBSB melantik MAC Construction Consultant Sdn Bhd bagi mewakili syarikat dalam proses adjudikasi tersebut. 

 

Syarikat berkenaan turut menuntut bayaran tertunggak, faedah, kos berkaitan, serta sebarang pampasan lain yang difikirkan wajar oleh pihak adjudikator.

 

Epicon dalam kenyataannya berkata, tuntutan itu tidak memberi kesan ketara terhadap kedudukan kewangan atau operasi kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025. - DagangNews.com