EPIC jalin kerjasama strategik dengan tujuh rakan perniagaan bantu pembangunan sosioekonomi Terengganu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EPIC jalin kerjasama strategik dengan tujuh rakan perniagaan bantu pembangunan sosioekonomi Terengganu

Gambar/FB EPIC Berhad
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 18 Feb - Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) dan anak syarikatnya memeterai kerjasama strategik dengan tujuh rakan perniagaan utama dalam usaha mempercepatkan pembangunan sosioekonomi dan industri Terengganu. 

 

Kerjasama yang dijalin merangkumi pelbagai inisiatif strategik, termasuk peluasan pelabuhan, pembangunan kemudahan gas asli cecair (LNG), pengurusan medan luar pesisir, perkhidmatan penyelenggaraan, rumusan penutupan operasi dan pembangunan bakat.

 

Anak syarikat EPIC Berhad, Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB) dan sebuah syarikat pengendali pelabuhan, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi projek pembesaran Pelabuhan Kemaman, manakala perjanjian kedua melibatkan EPIC Berhad dan E&H Energy Sdn Bhd untuk pajakan tanah bagi pembangunan Terminal LNG Pelabuhan Kemaman.

 

Kerjasama ketiga menyaksikan anak syarikat EPIC Berhad, EPIC OG Sdn Bhd (EOGSBO dan Begas Energy Sdn Bhd, menandatangani perjanjian bagi perkhidmatan pemulihan terminal, penyelenggaraan dan pengubahsuaian di Sabah.

 

Selain itu, EOGSB, THREE60 Energy Asia Sdn Bhd dan Saujana Upstream Sdn Bhd menandatangani perjanjian kerjasama berkaitan perkhidmatan pengurusan operasi medan (FOMS) untuk platform kepala telaga.

 

Satu lagi anak syarikat EPIC Berhad, Eastern Pacific Marine Services Sdn Bhd (EPMS), THREE60 Energy Asia Sdn Bhd dan Saujana Marine Sdn Bhd pula memeterai perjanjian kerjasama untuk perkhidmatan kejuruteraan, persediaan, 
penyingkiran dan pemulihan (EPRR) bagi kemudahan luar pesisir.

 

EPIC Berhad dan University College TATI (UC TATI) turut menandatangani MoU untuk menggalakkan kerjasama industri dan akademik dalam pelbagai bidang, sementara kerjasama terakhir melibatkan Rahar Niaga Sdn Bhd (RNSB), sebuah syarikat penyedia perkhidmatan bunkering yang diambil alih oleh EPIC Berhad pada akhir tahun 2024.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, semua kerjasama itu akan memacu pertumbuhan syarikat pada masa depan sambil mengekalkan momentum positif yang dicapai pada tahun lalu.

 

Katanya, melalui kerjasama strategik tersebut, syarikat bersedia untuk memacu inovasi, meningkatkan keupayaan operasi dan mengekalkan momentum positif yang telah dibina sepanjang tahun lalu.

 

"EPIC Berhad menamatkan tahun kewangan 2024 dengan pencapaian yang cemerlang, mencatatkan rekod baharu dalam sejarah syarikat dengan pendapatan keseluruhan sebanyak RM403.8 juta, peningkatan sebanyak RM59.8 juta berbanding RM344.0 juta yang dicatatkan pada tahun 2023.

 

"Keuntungan selepas cukai (PAT) juga meningkat kepada RM28 juta, lebih tiga kali ganda daripada hasil tahun sebelumnya iaitu RM8.9 juta dan jauh melebihi sasaran RM14.5 juta," katanya dalam satu kenyataan.

 

Majlis memeterai perjanjian kerjasama itu diadakan di Four Seasons Hotel Kuala Lumpur, disempurnakan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Industri dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman, yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

 

Mohd Nurkhuzaini berkata, kerajaan negeri amat menyokong projek dan pembangunan, terutamanya yang diterajui oleh syarikat milik negeri, kerana mereka memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pertumbuhan ekonomi tempatan. 

 

"Kami komited untuk memastikan setiap kerjasama dan inisiatif dasar yang kami laksanakan memberi kesan maksimum dan pulangan yang nyata. 

 

"Usaha ini mesti memacu pemindahan kepakaran yang bermakna, menarik pelaburan, membuka dimensi baharu dalam pembangunan bakat dan meluaskan akses pasaran," jelasnya.

 

Melalui kerjasama yang dimeterai, EPIC dan anak syarikatnya berhasrat untuk terus memperkukuh perniagaan teras mereka sambil meneroka bidang baharu dalam sektor minyak dan gas, pengurusan pelabuhan, maritim, kejuruteraan dan tenaga boleh diperbaharui. 

 

Inisiatif itu seterusnya akan membolehkan kumpulan menjana nilai yang berpanjangan untuk pemegang sahamnya sambil memacu pembangunan sosioekonomi di Terengganu. - DagangNews.com