EP Manufacturing dan Sanly Auto Parts lancar usaha sama, fokus pengeluaran bahagian automotif Proton | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EP Manufacturing dan Sanly Auto Parts lancar usaha sama, fokus pengeluaran bahagian automotif Proton

Gambar/EP Manufacturing Bhd
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 19 Feb - EP Manufacturing Bhd menjalin bekerjasama dengan sebuah syarikat sekutu milik Sanly Auto Parts Co Ltd (SAP) yang berpusat di China untuk menubuhkan sebuah syarikat usaha sama (JV) yang akan mengendalikan bahagian automotif terutamanya untuk Proton Holdings Bhd. 

 

Selain itu, terdapat klausa larangan persaingan selama lima tahun jika mana-mana pihak menarik diri daripada usaha sama tersebut.

 

Entiti baharu berkenaan akan menghasilkan, mengedarkan, mengimport dan mengeksport bahagian automotif, komponen dan sistem modular serta produk berkaitan untuk Proton, yang merupakan pelanggan utama mereka.

 

EP Manufacturing yang beribu pejabat di Shah Alam, Selangor dan SAP yang berpusat di Zon Perindustrian Luorong, Guangxi, China, masing-masing menghasilkan dan mengedarkan bahagian automotif.

 

EP Manufacturing berkata, syarikat anak milik sepenuhnya, Peps-JV (M) Sdn Bhd (PJM) memeterai perjanjian usaha sama (JVA) dengan Sanly (Malaysia) Sdn Bhd untuk menubuhkan Peps Sanly JV Sdn Bhd, dengan PJM memegang 51% ekuiti majoriti.

 

"Usaha sama ini memerlukan modal permulaan sebanyak RM10 juta, dengan PJM menyumbang sebahagiannya dalam bentuk aset untuk kegunaan perniagaan, manakala Sanly menyumbang RM4.9 juta dalam bentuk wang tunai.

 

"Kedua-dua pihak bersetuju untuk berkongsi pengetahuan teknikal, kepakaran, pangkalan data dan hak harta intelek mereka dengan syarikat usaha sama untuk tujuan pengeluaran dan pengedaran produk," jelas syarikat dalam satu kenyataan.

 

Katanya, EP Manufacturing dan Sanly akan melabur dalam penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan produk serta mengembangkan bahagian automotif baharu, meneroka bahan mesra alam dan memperbaiki proses pengeluaran serta mencipta inovasi dan penemuan baharu.

 

"Kedua-dua pihak juga akan terlibat serta berkongsi pengetahuan dan kepakaran masing-masing untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan bagi memperbaiki produk dan menghasilkan produk baharu," ujarnya.

 

Klausa larangan persaingan menghalang mana-mana pihak daripada terlibat dalam perniagaan yang serupa untuk Proton atau bersaing di pasaran tertentu selama 60 bulan selepas keluar dari usaha sama, tetapi sekatan itu tidak terpakai kepada produk yang dihasilkan untuk pelanggan atau pasaran lain.

 

Sebagai pembekal automotif Tier-1, EP Manufacturing mengendalikan lima kilang dan loji di seluruh Malaysia, membekalkan pemasangan modular, komponen keselamatan dan kritikal kepada pembuat kereta seperti Proton dan Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Bhd (Perodua).

 

Pada Januari 2024, EP Manufacturing mengumumkan, anak syarikatnya, PEPS-JV (Melaka) Sdn Bhd (PJVM), akan menjadi pemasang kenderaan kontrak untuk unit Malaysia GWM dari China selama lapan tahun.

 

Fokus EP Manufacturing adalah untuk memasang dan menghasilkan model SUV Haval H6 dan Haval Jolion dari GWM.

 

Langkah tersebut selaras dengan komitmen EP Manufacturing terhadap strategi perniagaan, memberikan peluang untuk memperluas aliran pendapatan dan mempelbagaikan portfolio perniagaannya. - DagangNews.com