KUALA LUMPUR 24 Feb - Penyedia rumusan automotif tempatan, EP Manufacturing Bhd (EPMB), menjalin dua usaha sama strategik dengan Sanly China dan Jujin China untuk mengeluarkan komponen automotif utama bagi Proton Saga MC3 di Malaysia.
EPMB, melalui anak syarikatnya PEPS-JV (M) Sdn Bhd, memeterai usaha sama dengan Sanly China untuk mengeluarkan modul sudut hadapan, modul subframe dan pemasangan gandar belakang bagi Proton Saga MC3 di negara ini.
Perjanjian yang ditandatangani pada 18 Februari 2025 itu menggabungkan teknologi pemesinan logam maju Sanly China dengan operasi sedia ada EPMB di Batang Kali, Selangor, sekali gus memastikan rantaian bekalan yang lebih kukuh dan berkesan.
Dengan memanfaatkan kepakaran Sanly China, EPMB berhasrat menyediakan model harga yang berpatutan dan kos pengeluaran yang dioptimumkan, memberikan pengeluar peralatan asal (OEM) dengan penjimatan kos dan jaminan kualiti yang lebih baik.
Pengarah Eksekutif EPMB, Aidan Hamidon berkata, usaha sama itu merupakan satu langkah strategik bagi syarikatnya, kerana dengan menggabungkan kepakaran pemesinan logam maju Sanly China dengan kemampuan pengeluaran tempatan mereka, EPMB sedang menetapkan standard kecemerlangan baharu dalam bekalan komponen automotif.
EPMB juga bergabung tenaga dengan Jujin China untuk mengeluarkan tempat duduk kereta Proton di Malaysia.
Usaha sama tersebut adalah hasil daripada bertahun-tahun kerjasama antara EPMB dan Jujin.
Perbincangan sedang berlangsung untuk memperluaskan kerjasama ke model Proton yang lain dan berkemungkinan kenderaan Geely.
Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah menyifatkan, usaha sama itu bukan sekadar pengembangan operasi, tetapi adalah peralihan dalam perniagaan.
"Kami tidak boleh meneruskan model di mana kami menghasilkan produk berkualiti tinggi, tetapi menjual pada harga yang rendah.
"Usaha sama ini memastikan kami dapat meningkatkan pengeluaran, mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan. Kami bukan hanya menyesuaikan diri dengan norma baharu, malah kami menciptanya," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com








