Entiti GE tarik balik tuntutan timbang tara terhadap Malakoff berkaitan loji janakuasa Prai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Entiti GE tarik balik tuntutan timbang tara terhadap Malakoff berkaitan loji janakuasa Prai

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Entiti berkaitan General Electric (GE) menarik balik tuntutan timbang tara terhadap Malakoff Corporation Bhd dan anak syarikatnya, Malakoff Power Bhd, sekali gus menamatkan Tuntutan 2 dalam pertikaian berpanjangan berkaitan Loji Janakuasa Prai.

 

Malakoff dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, entiti GE mengesahkan pada 4 Ogos lalu bahawa mereka tidak berhasrat meneruskan Tuntutan 2 di bawah Timbang Tara No. 278 Tahun 2018, Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura (SIAC).

 

Entiti GE berkenaan terdiri daripada GE Energy Parts Inc, GE Power Systems (Malaysia) Sdn Bhd, General Electric International Inc dan General Electric Co, yang mengemukakan tuntutan terhadap Malakoff Corporation dan Malakoff Power.

 

Menurut Malakoff, tribunal timbang tara kemudiannya mengeluarkan Perintah Penamatan bertarikh 19 Ogos 2026 yang menetapkan Tuntutan 2 dianggap telah ditarik balik.

 

Penarikan balik itu dibuat "tanpa kebenaran untuk memfailkan semula tuntutan berkenaan", manakala tiada relif diberikan, termasuk berkaitan kos.

 

Tuntutan 2, yang sebelum ini dikenali sebagai “Tuntutan Pihak Ketiga”, merupakan sebahagian daripada prosiding timbang tara berkaitan Loji Janakuasa Prai.

 

Prosiding itu turut melibatkan Tuntutan 1, yang sebelum ini dikenali sebagai “Tindakan Utama”, dikemukakan oleh Prai Power Sdn Bhd terhadap entiti GE.

 

Prai Power, anak syarikat milik penuh Malakoff, dinamakan sebagai pihak yang menuntut dalam Tuntutan 1 selepas Allianz General Insurance Company (Malaysia) Bhd memulakan prosiding timbang tara atas nama Prai Power.

 

Award muktamad separa dikeluarkan pada Julai

Tribunal mengeluarkan Award Muktamad Separa bagi Tuntutan 1 bertarikh 6 Julai 2026, yang didaftarkan sebagai Award No. 110 Tahun 2026 dalam Daftar Award SIAC.

 

Selepas tamat tempoh 28 hari daripada penentuan Tuntutan 1 oleh tribunal pada 3 Ogos lalu, entiti GE mengesahkan bahawa mereka akan menarik balik Tuntutan 2.

 

Malakoff berkata, Award Muktamad Separa itu dijangka tidak memberi sebarang kesan kewangan material terhadap kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

Katanya, penarikan balik Tuntutan 2 juga dijangka tidak memberi sebarang kesan kewangan material terhadap Kumpulan Malakoff. — DagangNews.com