Enproserve sasar kumpul RM50.4 juta menerusi IPO di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Enproserve sasar kumpul RM50.4 juta menerusi IPO di Pasaran ACE

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 26 Jun - Enproserve Group Bhd menyasarkan untuk mengumpul sebanyak RM50.4 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 18 Julai 2025.

 

Syarikat yang menyediakan perkhidmatan kejuruteraan dalam sektor minyak dan gas serta petrokimia itu, merancang menggunakan sebahagian besar dana IPO untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan operasi, terutamanya bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pemulihan loji.

 

Permohonan untuk menyertai IPO dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 8 Julai 2025, menurut Enproserve.

 

IPO itu merangkumi 315 juta saham pada harga 24 sen sesaham, terdiri daripada 210 juta saham baharu dan 105 juta saham sedia ada, mewakili 30% daripada jumlah keseluruhan saham selepas penyenaraian.

 

Daripada jumlah kutipan, sejumlah RM33.7 juta atau 66.9% akan digunakan untuk perbelanjaan modal dan operasi, termasuk pembelian jentera berat dan peningkatan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

 

Pengarah Urusannya, Azman Yusof berkata, Enproserve yakin penyenaraiannya di Pasaran ACE akan mengukuhkan kedudukan sebagai penyedia utama perkhidmatan kejuruteraan dalam sektor O&G serta petrokimia di Malaysia.

 

Katanya, ia berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun syarikat dalam kerja penyelenggaraan dan pemulihan loji serta jenama yang kukuh dalam industri.

 

"Dana IPO ini akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan baharu supaya kami dapat mengendalikan projek yang lebih besar. 

 

"Kami juga bersedia untuk memenuhi peningkatan permintaan bagi kerja-kerja penyelenggaraan loji dalam beberapa tahun akan datang, termasuk projek pemulihan loji terbesar di sebuah kemudahan petrokimia di Johor," katanya dalam satu kenyataan.

 

Azman menjelaskan, syarikat juga merancang untuk mengembangkan perniagaan penyewaan jentera dengan menambah peralatan pengangkut dan membina depoh kren baharu. 

 

"Usaha ini dijangka membantu pertumbuhan jangka panjang serta meningkatkan kecekapan operasi dan keuntungan syarikat," ujarnya.

 

Tambah beliau, perniagaan syarikat kekal kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan global.

 

"Perkhidmatan kami amat penting untuk memastikan kemudahan pelanggan beroperasi dengan selamat dan cekap, tanpa mengira turun naik harga minyak, tarif perdagangan atau isu geopolitik di peringkat antarabangsa," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KAF Investment Bank Bhd, Rohaizad Ismail berkata, Enproserve telah menunjukkan perkembangan ketara sejak mula beroperasi di Kemaman, Terengganu pada tahun 2001.

 

"Bermula sebagai syarikat kejuruteraan kecil, Enproserve kini menjadi penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan awam yang dipercayai.

 

"Pengalaman awal ini membantu membina hubungan kukuh dengan pelanggan. Melalui IPO ini, Enproserve bersedia berkembang lebih jauh, disokong oleh pelanggan setia dan model perniagaan yang kukuh walaupun berdepan cabaran industri," ujarnya.

 

IPO Enproserve melibatkan 210 juta saham terbitan baharu.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 139.18 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian, manakala 52.5 juta saham ditawarkan kepada orang awam di Malaysia melalui proses undian.

 

Sebanyak 18.32 juta saham pula dikhaskan kepada pengarah, kakitangan, dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Enproserve.

 

Selain itu, sebanyak 105 juta saham sedia ada yang ditawarkan untuk dijual juga akan diagihkan kepada pelabur terpilih menerusi penempatan persendirian.

 

KAF Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan dan penaja jamin tunggal bagi penyenaraian berkenaan. - DagangNews.com