KUALA LUMPUR 31 Mac — Pelan perluasan agresif dibiayai hasil penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) bernilai RM153 juta dijangka menjadi pemangkin utama prospek Empire Premium Food Berhad.
Menurut RHB Research, berdasarkan kepada perkembangan positif tersebut, ia membuat unjuran kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) keuntungan mencecah kira-kira 19% dalam tempoh tiga tahun.
Firma itu menetapkan nilai saksama (FV) 88 sen sesaham berasaskan penilaian 18 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27, mencerminkan potensi kukuh serta model perniagaan berskala tinggi.
"Dana IPO ini akan digunakan Empire Premium untuk pembukaan cawangan baharu Empire Sushi serta menaik taraf kedai sedia ada, selari dengan strategi memperkukuh penembusan pasaran," katanya.
Kumpulan itu jelasnya, menyasarkan 56 premis dibuka bagi tempoh FY27 hingga FY29, menambah kepada 143 cawangan setakat bulan lalu, disokong platform operasi yang modular dan mudah diskalakan.
Pendekatan syarikat kata RHB Research, yang mengekalkan pemilikan penuh operasi berbanding model francais, turut membolehkan kawalan secara berpusat ke atas rantaian bekalan dan standard operasi.
Kaedah ini tambah firma penyelidikan tersebut, sekali gus memastikan kualiti perkhidmatan dan produk yang konsisten, dengan tempoh pulangan modal bagi outlet Empire Sushi baharu juga dilihat lebih pantas.

"Ia cuma lapan hingga sembilan bulan, yang menyokong pengembangan berterusan, selain kekuatan jenama didorong tiga faktor utama antaranya kualiti produk dengan cita rasa tempatan," katanya.
Di samping itu jelas RHB Research, Empire Premium memiliki kemudahan konsep 'grab-and-go' yang mengurangkan kesesakan pelanggan serta harga produknya juga mampu milik bermula serendah RM1.30.
Lebih 90% daripada kedainya beroperasi dalam format bawa pulang, manakala lebih 80% produk adalah diperakui halal, menjadikannya pilihan utama pengguna dalam persekitaran tekanan kos sara hidup.
Pada masa sama, ia menjangkakan pertumbuhan pendapatan kumpulan akan terus disokong oleh pembukaan outlet baharu, pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) yang sihat serta kelebihan operasi harian.
"Aliran tunai Empire Premium juga diramal kukuh bagi menyokong perluasan perniagaan dan pembayaran dividen, dengan sasaran nisbah lebih 30%, selain kedudukan tunai bersih melalui IPO," tambahnya.
RHB Research berkata, model perniagaan berskala dan tarikan kepada pasaran massa turut menjadikan syarikat ini semakin mendapat perhatian dalam suasana perbelanjaan pengguna cenderung berhemah.
Bagaimanapun ia turut mengingatkan risiko utama termasuk perubahan peraturan, kenaikan mendadak harga komoditi serta peningkatan persaingan dalam industri makanan dan minuman. - DagangNews.com








