Empat projek sakit SPNB dengan GDV RM49 juta berjaya dipulihkan dari 2022-2024, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Empat projek sakit SPNB dengan GDV RM49 juta berjaya dipulihkan dari 2022-2024, Parlimen diberitahu

Gambar hiasan.
Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 6 Nov – Sebanyak empat projek perumahan sakit di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berjaya dipulihkan dalam tempoh 2022 hingga 2024, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

 

Sementara lima lagi tambah beliau, dalam proses pemulihan dengan keseluruhannya melibatkan sejumlah 1,936 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM494.13 juta.

 

“Sepanjang tempoh berkenaan, secara keseluruhan sembilan projek sakit SPNB di bawah pemantauan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai KPKT (TFST) dalam proses pemulihan,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen hari ini.

 

 

 

 

 

 


Beliau menjawab soalan Onn Abu Bakar (PKR–Batu Pahat) yang meminta menteri menyatakan jumlah projek sakit di bawah SPNB dari 2022 hingga 2024 serta bilangan projek yang telah berjaya disiapkan dalam tempoh sama.

 

Kor Ming berkata, daripada sembilan projek perumahan sakit di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), empat projek telah berjaya disiapkan sepenuhnya, termasuk tiga projek yang telah memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada tahun 2024, melibatkan 551 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM49.38 juta.

 


“Tiga projek berkenaan ialah Taman Pinggiran Tanah Hitam di Kinta, Perak; Taman Seri Molek Perdana (Blok D & E) di Plentong, Johor; serta Perumahan Makmur Karak Setia di Bentong, Pahang,” katanya.

 


Beliau berkata, satu lagi projek iaitu di Mukim Maka, Tanah Merah, Kelantan, telah dikeluarkan daripada senarai projek sakit dan dikategorikan sebagai projek lancar pada Ogos 2025, melibatkan 130 unit kediaman dengan GDV RM66.47 juta.

 


Sementara itu, baki lima projek lagi yang melibatkan 1,255 unit kediaman dengan GDV berjumlah RM378.28 juta kini sedang giat dipulihkan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang awal tahun 2026.

 


Projek-projek yang masih dalam proses penyelesaian itu melibatkan lima lokasi utama di seluruh negara.

 


Antaranya ialah Taman Tiara Perdana di Simpang Renggam, Johor, yang kini dalam proses pelantikan semula perunding arkitek baharu dan dijangka disiapkan sepenuhnya pada November 2025.

 


Sementara itu, projek Residensi Lanar di Seremban, Negeri Sembilan, masih berbaki seorang pembeli yang belum bersetuju, dan perintah mahkamah dijangka diperoleh menjelang Disember 2025 bagi membolehkan kerja pemulihan diteruskan.

 


Bagi projek di Mukim Ulu Sat, Machang, Kelantan, SPNB kini sedang mendapatkan tandatangan tuan tanah bagi perjanjian pembatalan dengan pembeli sedia ada, dan proses itu dijangka selesai pada Disember 2025.

 


Manakala dua lagi projek iaitu Taman Desa Idaman (Lesen 1) dan (Lesen 2) di Paka, Terengganu, kini telah mencapai kemajuan fizikal 89.67% dan dijangka memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada Februari 2026.

 

“Kesemua baki projek ini dijangka dapat diselesaikan menjelang awal tahun 2026.

 


“Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan KPKT dalam memastikan projek-projek sakit dipulihkan melalui Langkah Penstrukturan Projek Sakit SPNB tanpa menggunakan dana awam, sambil memastikan kebajikan pembeli terus diberi keutamaan,” katanya.

 

 

 

 

 

 


Nga berkata, pemantauan ketat oleh TFST bersama SPNB telah membuahkan hasil yang positif, mencerminkan keupayaan kerajaan memulihkan keyakinan rakyat terhadap pelaksanaan projek perumahan nasional.

 


“KPKT kekal fokus untuk memastikan setiap rumah yang dijanjikan disiapkan sepenuhnya, seiring dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat dan tadbir urus berintegriti,” katanya. - DagangNews.com