emart24 sasar 115 cawangan seluruh negara, fokus perluasan ke Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

emart24 sasar 115 cawangan seluruh negara, fokus perluasan ke Johor

(Dari kiri) Ketua Pegawai Pelaburan Karrin Associates, Aik Chuan Tan, Pengurus Besar Pasukan Pembangunan Antarabangsa emart24 Korea, Baek Heyn Lim, Pengerusi Mamee Double Decker Sdn Bhd, Tan Sri Pang Tee Chew, Ketua Pegawai Eksekutif emart24 Holdings Sdn Bhd, Vuitton Pang, Timbalan Pengarah Korea Agro-Trade (aT) Center Kuala Lumpur, Hwang Ho Choi, dan Ketua Pegawai Komersial emart24 Holdings Sdn Bhd, Tan Chuan Hoe, memotong reben sempena pelancaran cawangan ke-100 emart24 di Kota Damansara.
Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 25 Jun - Rangkaian kedai serbaneka Korea Selatan, emart24 menyasarkan untuk mengendalikan 115 cawangan di seluruh negara menjelang akhir 2025, dengan fokus perluasan ke Johor.

 

Syarikat itu merupakan rangkaian kedai serbaneka Korea pertama dan terpantas berkembang di Pantai Timur, dengan mengambil peluang daripada permintaan tinggi terhadap makanan Korea yang diperakui halal.

 

emart
Ketua Pegawai Eksekutif emart24 Holdings Sdn Bhd, Vuitton Pang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif emart24 Holdings Sdn Bhd, Vuitton Pang berkata, Johor menjadi tumpuan utama susulan permintaan tinggi terhadap makanan dan minuman Korea.

 

"Kami menerima banyak permintaan pelanggan dan akan memperkukuh kehadiran di negeri tersebut.

 

"Sambutan di negeri seperti Terengganu dan Kelantan amat menggalakkan, dan kami amat menghargai sokongan serta sambutan mesra yang diberikan," katanya dalam satu kenyataan selepas melancarkan cawangan ke-100 emart24 di Kota Damansara.

 

emart24 turut merancang untuk membuka 50 cawangan pada tahun depan, dengan pelaburan melebihi RM300,000 bagi setiap lokasi, sebagai sebahagian usaha menawarkan pengalaman makanan jalanan Korea halal yang mampu milik kepada pengguna tempatan.

 

"Gangguan geopolitik semasa tidak memberi kesan kepada kami kerana kami sangat bergantung kepada pembekal tempatan.

 

emart
Kempen "Spend & Win" akan dilancarkan di seluruh negara dari 1 hingga 31 Julai 2025, menawarkan lebih 100 pelanggan bertuah peluang memenangi hadiah menarik seperti telefon Samsung S25, jam tangan Samsung Galaxy serta baucar penerbangan dan hotel ke Korea Selatan serta destinasi lain, tajaan Traveloka.

 

"Kami hanya fokus pada kualiti, memperkenalkan produk dan promosi baharu yang menarik, serta mengekalkan harga berpatutan untuk kekal bersaing dalam industri ini," tambah Vuitton.

 

emart

 

Syarikat turut bekerjasama dengan pembekal tempatan dan kesemua produk di kedainya adalah buatan tempatan, satu langkah yang membantu mereka kekal kukuh di sebalik peningkatan kos dan ketidaktentuan global.- DagangNews.com