KUALA LUMPUR 21 Mei – Elsa Berhad menyasarkan pengumpulan dana sebanyak RM35.6 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
IPO tersebut ditawarkan pada harga 23 sen sesaham, merangkumi RM27.23 juta hasil terbitan saham baharu yang akan diperoleh oleh syarikat, manakala RM8.37 juta lagi melibatkan tawaran jualan saham oleh tiga pemegang saham sedia ada, menurut prospektus syarikat.
Sebanyak 118.4 juta saham merupakan terbitan awam baharu, manakala 36.4 juta saham lagi adalah tawaran jualan oleh pemegang saham sedia ada. Secara keseluruhan, Elsa akan mempunyai permodalan pasaran sekitar RM124 juta selepas penyenaraian.
Permohonan IPO dibuka pada 21 Mei dan akan ditutup pada 3 Jun, dengan penyenaraian dijangka berlangsung pada 16 Jun 2026 di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Dari segi struktur peruntukan, sebanyak 26.92 juta saham diperuntukkan kepada pelabur runcit Malaysia, dengan 50 peratus daripadanya dikhususkan kepada pelabur Bumiputera.
Sebanyak 10.76 juta saham pula diperuntukkan kepada pengarah, pengurusan dan penyumbang syarikat, manakala 80.71 juta saham lagi diperuntukkan kepada pelabur terpilih.
Syarikat itu memaklumkan ia kini mempunyai 140 projek aktif yang sedang berjalan, merangkumi 109 projek vendor tunggal serta 31 projek di bawah kontrak berasaskan skop kerja berkelompok yang lebih besar (umbrella projects).
Keseluruhan portfolio tersebut merangkumi nilai kontrak sedia ada sebanyak RM636.03 juta, selain baki tempahan yang telah disahkan berjumlah RM265.45 juta.
Selain itu, Elsa turut mempunyai 157 cadangan tender aktif dengan nilai potensi dianggarkan sekitar RM655.47 juta, yang dijangka menyokong trajektori pertumbuhan kumpulan.
Kumpulan itu beroperasi sebagai penyedia perkhidmatan berlesen PETRONAS SWEC dengan 269 lesen, yang membolehkan ia menawarkan penyelesaian berasaskan teknologi tanpa keperluan perbelanjaan modal tinggi.
Hasil IPO akan digunakan untuk pembangunan operasi termasuk memperkukuh penyelesaian lapangan minyak dan digital, menaik taraf keupayaan robotik serta kejuruteraan, dan mengembangkan teknologi dron berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Sebahagian dana turut diperuntukkan sebanyak RM16.38 juta bagi perbelanjaan berkaitan perundingan projek sedia ada dan akan datang, RM3 juta untuk pembangunan kenderaan autonomi bawah air (AUV) serta RM1.4 juta bagi pembelian lapan dron khusus.
Baki dana akan digunakan untuk modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.
Malacca Securities Sdn Bhd dilantik sebagai Penasihat Prinsipal, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi penyenaraian IPO tersebut.- DagangNews.com








