KUALA LUMPUR 12 Mac – Elsa Berhad, penyedia perkhidmatan dan peralatan untuk industri minyak dan gas mendapat kelulusan daripada Bursa Malaysia untuk disenaraikan di Pasaran ACE yang dijangka berlaku pada suku kedua tahun ini.
Proses penyenaraian ini melibatkan penerbitan 118.4 juta saham baharu melalui tawaran awam dan 36.4 juta saham sedia ada yang dijual oleh pemegang saham.
Elsa dalam satu kenyataan memaklumkan dana yang diperoleh daripada tawaran awam permulaan (IPO) itu akan digunakan untuk mengembangkan perkhidmatan syarikat dan memperkukuh keupayaan teknikal mereka.
Pengarah Urusan Elsa Berhad, Daniel Ilham menyifatkan kelulusan Bursa Malaysia sebagai pencapaian penting dalam perjalanan korporat syarikat.
“Ini adalah platform penting untuk mengukuhkan kedudukan Elsa sebagai penyedia perkhidmatan bersepadu dalam industri minyak dan gas,” katanya dalam kenyataan itu.
Elsa Berhad menawarkan empat segmen perkhidmatan utama, iaitu perkhidmatan di medan telaga minyak, tenaga pakar, digital dan robotik serta kejuruteraan.
Segmen robotik dan digital syarikat bukan sahaja menyokong sektor minyak dan gas, tetapi juga digunakan dalam industri lain yang memerlukan automasi dan kecekapan operasi.
Dana IPO akan diagihkan kepada tiga perkara utama dengan sebahagian besar akan menyokong pengembangan perkhidmatan di lapangan medan minyak dan perkhidmatan digital diikuti dengan pelaburan dalam robotik dan keupayaan pemeriksaan, termasuk pembelian peralatan khusus bagi meningkatkan keberkesanan pemeriksaan aset.
Baki dana akan digunakan sebagai modal kerja bagi membolehkan syarikat melaksanakan kontrak tambahan apabila pada masa akan datang.
Langkah ini dijangka memberi fleksibiliti kewangan yang lebih besar untuk Elsa dalam menghadapi peluang pasaran yang semakin luas.
Sementara itu, Pengerusi Elsa Berhad, Amiruddin Zain berkata penyenaraian di Pasaran ACE merupakan evolusi penting dalam sejarah korporat syarikat.
“Oleh kerana dunia kini semakin memberi perhatian kepada penggunaan automasi dan peningkatan kecekapan dalam sektor tenaga, Elsa berada dalam kedudukan yang baik untuk mengambil peluang daripada perubahan dalam industri,” katanya.
Malacca Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin, dan ejen penempatan saham bagi penyenaraian ini.
Elsa Berhad kini beroperasi melalui beberapa anak syarikat yang menyediakan sokongan kejuruteraan petroleum, perkhidmatan telaga minyak, infrastruktur digital, keselamatan siber, dan pemeriksaan robotik.- DagangNews.com








