Ekuiti Capital A tertekan berikutan harga saham AirAsia X jatuh akibat konflik Timur Tengah — MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekuiti Capital A tertekan berikutan harga saham AirAsia X jatuh akibat konflik Timur Tengah — MBSB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 18 Mac — Penurunan harga saham AirAsia X Berhad susulan konflik geopolitik di Timur Tengah dilihat memberi tekanan kepada kedudukan ekuiti Capital A Berhad, kata MBSB Research.


Bagaimanapun tambah firma penyelidikan tersebut, kesannya dinilai sebagai masih terhad dan tidak menjejaskan usaha keluar daripada status syarikat bermasalah di bawah nota amalan 17 (PN17).


Katanya, kejatuhan harga saham AirAsia X kira-kira 39% sejak konflik Asia Barat sudah mengurangkan ekuiti Capital A, namun ia kekal positif sekitar RM610 juta, bersamaan 107% daripada modal saham.


"Kedudukan itu bermakna kumpulan berkenaan tidak mencetuskan status PN17 sekali lagi walaupun berlaku penyusutan nilai pelaburan tersebut," kata MBSB Research dalam nota analisisnya hari ini.


Ia susulan sesi Hari Pelabur Capital A 2026 baru-baru ini, yang menampilkan pembentangan daripada tiga entiti teras kumpulan iaitu Asia Digital Engineering (ADE), AirAsia MOVE dan Teleport.


Menurutnya, selepas melupuskan perniagaan penerbangan pada 3 Disember 2025, Capital A kini beralih kepada platform perkhidmatan penerbangan sepenuhnya yang memberi asas pendapatan lebih stabil.


MBSB Research berkata, situasi ini kurang terdedah kepada turun naik makroekonomi, walaupun harga saham syarikat berdepan tekanan susulan sentimen geopolitik dan kaitan ekosistem dengan AirAsia X.
 

Capital A


"Pihak pengurusan memaklumkan kesan operasi sebenar ke atas entiti kumpulan setakat ini adalah minimum, manakala dari segi kemajuan penstrukturan semula, ia bergerak dengan positif," katanya.


Capital A jelas firma tersebut, sudah melengkapkan pelupusan perniagaan penerbangan pada Disember 2025 sebelum memenuhi keperluan kawal selia di bawah pelan pemulihan pada 23 Januari 2026.


Di bawah rangka kerja standard, ia perlu menunjukkan keuntungan sepanjang suku pertama hingga suku kedua FY26 sebelum layak keluar daripada status PN17, yang berpotensi berlaku seawal Ogos 2026.


Bagaimanapun, pengurusan sedang memohon pengecualian bagi membolehkan syarikat menggunakan rekod keuntungan terdahulu, yang berpotensi mempercepatkan proses keluar daripada status tersebut.


"Bagi FY26, Capital A menetapkan sasaran pendapatan RM3.8 bilion, naik 12% tahun ke tahun (YoY), dengan hasil kasarh RM600 juta (+35%) dan keuntungan operasi bersih RM266 juta (+56%)," katanya.


Justeru jelas MBSB Research, tiga entiti utama kumpulan iaitu ADE, AirAsia MOVE dan Teleport dijangka mampu menyumbang 81% daripada hasil, dengan 86% daripada keuntungan operasi bersih.


Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Capital A dengan harga sasaran tidak berubah 77 sen berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOTP). - DagangNews.com