Ekuinas melabur dalam Bluesify Solutions bantu perkukuh keselamatan siber | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekuinas melabur dalam Bluesify Solutions bantu perkukuh keselamatan siber

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 17 Mac - Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) mengumumkan pelaburan dalam syarikat keselamatan siber tempatan, Bluesify Solutions Sdn Bhd.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Datuk Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, pelaburan itu dibuat melalui dana Dana Asas I miliknya, namun beliau tidak mendedahkan butiran transaksi dan kewangan pelaburan.

 

"Pelaburan kami dalam Bluesify adalah langkah penting untuk mengukuhkan landskap keselamatan siber Malaysia dan memastikan perniagaan mendapat perlindungan yang diperlukan terhadap ancaman digital yang semakin meningkat," katanya dalam satu kenyataan.

 

Jelasnya, Bluesify akan mengembangkan tawaran perkhidmatannya merangkumi keseluruhan kitaran hayat keselamatan siber dan memperkembangkan Pusat Pengesanan dan Tindak Balas yang Diuruskan dengan modal daripada Ekuinas.

 

Ditubuhkan pada 2012, Bluesify diasaskan oleh Izman Ibrahim dan Faroze Mohd Salleh. 

 

Syarikat tersebut menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan seperti institusi kewangan, tenaga dan kemudahan, penjagaan kesihatan, kerajaan dan badan berkanun.

 

Pelaburan berkenaan dibuat selepas penguatkuasaan Akta Keselamatan Siber Malaysia 2024 yang mewajibkan perkhidmatan keselamatan siber memperoleh lesen dan pematuhan peraturan yang lebih ketat bagi entiti perniagaan yang memiliki dan mengendalikan infrastruktur maklumat kritikal negara.

 

Izman yang juga Pengarah Urusan Bluesify berkata, pelaburan itu menandakan satu langkah besar untuk syarikat.

 

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan Ekuinas untuk membawa Bluesify ke peringkat pertumbuhan yang seterusnya," ujarnya. - DagangNews.com