Ekonomi Terengganu stabil pada suku pertama 2026 didorong sentimen perniagaan positif - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekonomi Terengganu stabil pada suku pertama 2026 didorong sentimen perniagaan positif - DOSM

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Mei – Ekonomi Negeri Terengganu kekal stabil pada suku pertama tahun 2026 dengan disokong oleh sentimen perniagaan yang masih positif meskipun terdapat ketidaktentuan dalam beberapa indikator perdagangan luar dan pasaran buruh.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, dari aspek perdagangan luar, Terengganu mencatat penurunan nilai eksport sebanyak 9.4% kepada RM4.07 bilion pada suku pertama 2026 berbanding RM4.49 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Nilai import juga susut 4% kepada RM1.29 bilion, mencerminkan aktiviti perdagangan yang lebih perlahan dalam tempoh berkenaan.

 

Bagaimanapun, pasaran buruh negeri kekal stabil dengan bilangan tenaga buruh mencatat 509.3 ribu orang berbanding 510 ribu orang pada suku keempat 2025, manakala kadar penyertaan tenaga buruh berada pada 61.3%.

 

Bilangan penduduk bekerja pula mencatat 493.1 ribu orang, manakala kadar pengangguran meningkat sedikit kepada 3.2% berbanding 3% pada suku sebelumnya.

 

Dari sudut industri, sektor pembuatan di Terengganu menunjukkan prestasi stabil dengan kadar penggunaan kapasiti industri berada pada 87.6%, mencerminkan tahap operasi yang tinggi dan berdaya tahan dalam kalangan pengusaha.

 

Dari aspek demografi, jumlah penduduk negeri meningkat sedikit kepada 1.252 juta orang berbanding 1.251 juta orang pada suku sebelumnya, dengan 5,585 kelahiran hidup direkodkan berbanding 1,899 kematian dalam tempoh sama.

 

Perkara itu dipaparkan dalam penerbitan Indikator Sosioekonomi Negeri Terengganu Suku Tahun Pertama 2026 yang dikeluarkan oleh jabatan tersebut.

 

DOSM memaklumkan penerbitan tersebut merupakan penjenamaan semula daripada Poket Stats Negeri yang telah diperkasakan melalui penambahan indikator utama terpilih bagi memperkukuh gambaran prestasi ekonomi dan sosial di peringkat negeri.

 

Antara indikator yang diketengahkan termasuk subsektor pertanian terpilih, inflasi, perdagangan luar, pasaran buruh serta indikator sosial seperti populasi serta pendapatan dan perbelanjaan isi rumah.

 

Dalam perkembangan ekonomi negara, Malaysia mencatat pertumbuhan 5% pada suku pertama 2026 dengan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM437.7 bilion, berbanding 6.2% atau RM457.9 bilion pada suku sebelumnya, sekali gus menunjukkan penyederhanaan pertumbuhan.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata ekonomi negara terus menunjukkan daya tahan meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar serta ketidaktentuan harga komoditi dunia.

 

Sementara itu, inflasi negara meningkat sedikit kepada 1.7% pada Mac 2026 berbanding 1.6% pada Februari 2026, sejajar dengan kenaikan indeks harga di peringkat nasional.

 

Dalam perkembangan berkaitan, DOSM turut memaklumkan pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 (BE2026) yang berlangsung dari 5 Januari hingga 31 Oktober 2026 bertujuan mengumpul data menyeluruh bagi menilai struktur dan prestasi ekonomi negara secara lebih komprehensif. - DagangNews.com