Ekonomi Malaysia diyakini berkembang 4.9% pada 2025 disokong pertumbuhan sektor pengguna - Maybank IB  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekonomi Malaysia diyakini berkembang 4.9% pada 2025 disokong pertumbuhan sektor pengguna - Maybank IB 

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Feb - Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada 2025 diunjur berkembang pada 4.9% dibantu kitaran naik pelaburan sektor swasta dan dasar Belanjawan 2025 yang menyokong pertumbuhan perbelanjaan pengguna. 

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, gaji penjawat awam yang lebih tinggi, kenaikan gaji minimum, pemberian dan pelepasan cukai pendapatan peribadi diyakini memacu sektor pengguna yang seterusnya akan mengembangkan ekonomi negara. 

 


Firma penyelidikan itu berkata, walaupun jualan semikonduktor global dan industri pelancongan menyaksikan pemulihan berterusan, Maybank IB menekankan tekanan geopolitik dan tarif perdagangan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mungkin memberi kesan kepada eksport Malaysia.  

 


Pada suku keempat 2024 (4Q24), ekonomi Malaysia berkembang 5% melebihi sedikit daripada jangkaan pasaran dan anggaran pendahuluan rasmi sebanyak 4.8%, mencerminkan prestasi lebih baik merentasi segmen pembekal dan permintaan. 

 


Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 4Q24 yang menyederhana daripada 5.3% pada suku sebelumnya, disokong oleh pengembangan berterusan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

 


"Selain itu, eksport barangan dan perkhidmatan juga berkembang manakala pertumbuhan import modal dan pengantara menjadi sederhana.

 

"Sebaliknya, terdapat pembinaan dalam sektor komoditi disebabkan oleh pengeluaran kelapa sawit yang lebih rendah serta penurunan berterusan dalam pengeluaran minyak," katanya dalam laporan ekonomi dikeluarkan oleh BNM, pada Jumaat.

 

Pada asas suku ke suku, pertumbuhan merosot sebanyak 1.1%. dan sepanjang tahun, ekonomi Malaysia meningkat 5.1%

 

"Di peringkat domestik, pertumbuhan didorong terutamanya oleh perbelanjaan isi rumah yang lebih kukuh mencerminkan keadaan pasaran buruh yang menggalakkan, langkah dasar untuk menyokong isi rumah dan kunci kira-kira isi rumah yang sihat," kata Bank Negara.

 

"Terdapat rangsangan kepada pertumbuhan pelaburan berikutan kelulusan pelaburan kukuh dan kemajuan lanjut projek berbilang tahun oleh sektor swasta dan awam.

 

"Ini termasuk termasuk inisiatif pemangkin di bawah pelan induk negara (iaitu Pelan Induk Perindustrian Baharu, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, dan Strategi Semikonduktor Nasional).

 

"Faktor luaran yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi termasuk pemulihan eksport dalam keadaan pertumbuhan global yang stabil, kitaran teknologi yang berterusan serta ketibaan dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com