Ekonomi Malaysia diramal stabil didorong perbelanjaan domestik dan pelaburan kukuh - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekonomi Malaysia diramal stabil didorong perbelanjaan domestik dan pelaburan kukuh - penganalisis

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 7 Mac - Perbelanjaan domestik yang kukuh dan pelaburan berterusan dijangka menyokong ekonomi Malaysia ketika negara terus berdepan cabaran ketidaktentuan perdagangan global.

 

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia terus berhadapan dengan risiko kemerosotan apabila perang perdagangan global semakin memuncak dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk mengenakan duti bagi sektor semikonduktor.

 

Katanya, aktiviti pelaburan akan disokong oleh kemajuan lanjut dalam projek jangka panjang, saluran pelaburan yang sihat, serta pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah pelan induk negara.

 

HLIB menekankan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM378.5 bilion pada 2024, berbanding RM329.5 bilion pada 2023.

 

Bagaimanapun jelasnya, perbelanjaan domestik yang kukuh dan saluran pelaburan yang mantap dijangka dapat mengurangkan sebahagian kesan daripada permintaan luaran yang lebih lemah.

 

"Dengan Bank Negara Malaysia (BNM) meramalkan pertumbuhan yang stabil dan inflasi yang terkawal, kami terus menjangka kadar dasar semalaman (OPR) kekal tidak berubah pada 3.00 peratus sepanjang tahun ini," katanya dalam satu nota kajian.

 

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) percaya, walaupun bank pusat global lebih cenderung untuk mengurangkan kadar faedah kecuali Bank of Japan, BNM dijangka mengekalkan OPR sepanjang 2025.

 

Katanya, kadar semasa menyokong pertumbuhan ekonomi sambil menguruskan risiko inflasi, khususnya daripada potensi kesan penyelarasan subsidi.

 

"Risiko inflasi masih wujud akibat pelarasan dasar domestik, tetapi dijangka dapat dikawal melalui langkah-langkah yang disasarkan," tambahnya.

 

Kenanga IB juga melaporkan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tetap terdedah kepada ketidaktentuan luaran, termasuk perubahan dasar perdagangan AS di bawah pentadbiran Trump.

 

Menurutnya, peningkatan dalam perang perdagangan AS-China boleh melambatkan pemulihan ekonomi China, walaupun rangsangan domestiknya mungkin dapat mengurangkan impak tersebut. 

 

Kenanga IB berkata, walaupun menghadapi risiko itu, permintaan domestik dijangka dapat menyokong pengembangan.

 

"Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 pada 4.8 peratus, berbanding 5.1 peratus pada tahun lalu.

 

"Walaupun ia mencerminkan sedikit pengurangan, asas ekonomi kekal stabil, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, pendapatan isi rumah yang meningkat, ketibaan pelancong yang lebih ramai dan perbelanjaan kerajaan yang berterusan.

 

"Prospek ini juga mengambil kira pemulihan semula aktiviti ekonomi selepas asas yang tinggi pada 2024," tambahnya. - DagangNews.com