KUALA LUMPUR 25 Mac - Penganalisis melihat tarif timbal balik yang bakal dikenakan Amerika Syarikat (AS) sebagai risiko utama yang akan menjejaskan prospek ekonomi Malaysia.
Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.5% hingga 5.5% bagi tahun ini sejajar dengan tinjauan Kementerian Kewangan manakala jangkaan inflasi antara 2% hingga 3.5%.
Mercury Securities berkata, pengumuman tarif pada 2 April ini adalah penting dalam menentukan prospek pertumbuhan negara.
Katanya, perkara itu sangat penting kerana unjuran BNM bergantung kepada tarif AS semasa di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump dan tidak mengambil kira langkah perdagangan baharu.
Trump dijangka mengumumkan lebih banyak cukai ke atas beberapa negara, menambah tarif sedia ada dan ia boleh memperlahankan ekonomi global.
Tindakan terbaru Trump mengenakan 25% "tarif tambahan" ke atas pembeli minyak dari Venezuela iaitu India dan China.
Mercury Securities berkata, reaksi dasar dan daya tahan rakan dagangan utama adalah penting dalam menguruskan kesannya.
"Bagaimanapun, kepelbagaian perdagangan Malaysia yang semakin meningkat dan kedudukannya dalam rantaian nilai teknologi global mungkin memberikan sedikit perlindungan," katanya.
Langkah perdagangan lebih ketat dan reaksi, selain potensi peningkatan ketegangan geopolitik, boleh menjejaskan aliran perdagangan global, melembapkan permintaan daripada rakan dagangan utama, dan menjejaskan prestasi eksport Malaysia, katanya.
"Peningkatan ketidakpastian juga boleh membawa kepada pelaburan dan penggunaan yang lebih berhati-hati dengan gangguan selanjutnya kepada pengeluaran komoditi akan menambah kemerosotan, terutamanya jika keadaan cuaca buruk berterusan," tambah Public Investment Bank Bhd (PublicInvest).
Sekiranya risiko itu menjadi kenyataan, ia berkata, pertumbuhan berkemungkinan berada di bawah julat ramalan 2025.
Sementara itu, CGS International berkata, unjuran KDNK BNM adalah lebih optimistik daripada jangkaan pasaran.
Firma penyelidikan itu mengekalkan ramalan pertumbuhan KDNK 2025 pada 4.6%, meletakkannya pada hujung bawah julat ramalan rasmi dan sedikit di bawah konsensus Bloomberg sebanyak 4.7%.
"Ini membayangkan persepsi BNM tentang keadaan ekonomi semasa sebagai sedikit optimis berbanding pasaran," kata firma penyelidikan itu.- DagangNews.com








