EDOTCO, Kejuruteraan Rasshin jalin kerjasama percepat peralihan digital Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EDOTCO, Kejuruteraan Rasshin jalin kerjasama percepat peralihan digital Sarawak

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 4 Mac - EDOTCO Malaysia dan Kejuruteraan Rasshin Sdn Bhd (KRSB) menjalin kerjasama strategik bagi mempercepat peralihan digital Sarawak dalam usaha menyokong Pelan Ekonomi Digital Sarawak 2030 untuk merapatkan jurang digital dan meningkatkan sambungan untuk komuniti bandar dan luar bandar.

 

Dengan memanfaatkan kepakaran tempatan KRSB dan keupayaan teknologi maju EDOTCO, kerjasama itu akan menyediakan kemudahan sedia 4G dan 5G, membolehkan akses digital yang lebih luas dan membuka peluang ekonomi baharu. 

 

Inisiatif tersebut secara langsung menyokong ekosistem tempatan seperti pembangunan bandar pintar, pendidikan digital, e-dagang dan usaha digitalisasi kerajaan, memastikan penyertaan menyeluruh dalam ekonomi digital.

 

Kejuruteraan Rasshin merupakan syarikat milik penuh Bumiputera Sarawak, yang pakar dalam bidang mekanikal & elektrikal (M&E), awam & struktur (C&S) dan kerja-kerja telekomunikasi. 

 

Dengan pensijilan ISO 9001:2015, KRSB diiktiraf kerana menyediakan rumusan kemudahan berkualiti tinggi dan memperoleh kepercayaan industri melalui perkongsian jangka panjang. 

 

Sebagai satu daripada beberapa vendor yang berdaftar di bawah Sarawak Multimedia Authority, KRSB memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan kemudahan digital dan telekomunikasi negeri.

 

Sebagai rakan kemudahan digital nasional Malaysia, EDOTCO pula membawa rumusan berdaya cipta yang berasaskan data dan disesuaikan untuk menangani cabaran geografi, kepadatan penduduk yang pelbagai dan lokasi yang sukar dijangkau. 

 

Dalam kerjasama dengan KRSB, EDOTCO akan menawarkan rumusan dan sambungan yang disesuaikan seperti teknologi satelit orbit rendah dan akses tanpa wayar tetap (FWA) di tempat yang diperlukan, memastikan peluasan rangkaian yang lancar di seluruh landskap negeri yang pelbagai. 

 

Kerjasama itu juga menyokong Penyedia Rangkaian Mudah Alih (MNO) untuk mempercepatkan usaha penyebaran mereka dengan menyediakan kemudahan telekomunikasi yang dikongsi, menjimatkan kos, boleh skala dan dioptimumkan untuk keperluan sambungan jangka panjang.

 

Dengan menggunakan alat Perancangan Rangkaian dan Analitik (NaPA), EDOTCO memanjangkan penempatan rangkaian yang tepat dan strategik, mengoptimumkan kecekapan kemudahan sambil mengurangkan kos.

 

Pendekatan berkenaan diperkukuhkan lagi dengan amalan lestari, termasuk penggunaan bahan alternatif dan sumber tenaga boleh diperbaharui, yang mampu mengurangkan kesan alam sekitar dan menggalakkan kelestarian jangka panjang dalam landskap telekomunikasi Sarawak.

 

Pengarah Perniagaan Malaysia EDOTCO, Gayan Koralage berkata, kerjasama itu adalah langkah penting untuk memastikan setiap komuniti di Sarawak tanpa mengira lokasi, mempunyai akses kepada sambungan yang boleh dipercayai dan berkelajuan tinggi. 

 

"Sebagai rakan kemudahan digital negara, EDOTCO mampu menyediakan rumusan yang disesuaikan untuk landskap unik Sarawak. 

 

"Kami membantu MNO memperluaskan capaian rangkaian mereka dengan lebih cepat dan berkesan di seluruh negeri," katanya dalam satu kenyataan selepas perasmian perjanjian strategik antara dua pihak itu.

 

Acara turut disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato’ Sri Julaihi Narawi di Mobile World Congress (MWC) 2025.

 

Pengarah Urusan KRSB, Mohammed Ariffin Adenan dalam pada itu berkata, kerjasama dengan EDOTCO sejajar dengan misi untuk meningkatkan kemudahan Sarawak melalui rumusan berdaya cipta dan lestari. 

 

"Kerjasama ini akan meningkatkan sambungan dan memberi kuasa kepada komuniti serta perniagaan tempatan dengan menyepadukan mereka dalam ekosistem digital yang sedang berkembang di negeri ini," ujarnya.

 

Fasa awal pelaksanaan akan memberi tumpuan kepada peluasan liputan rangkaian ke kawasan komersial, industri dan luar bandar, memastikan zon ekonomi utama mendapat manfaat daripada sambungan yang boleh dipercayai dan berkelajuan tinggi. 

 

Dari semasa ke semasa, kerjasama itu akan menyokong aplikasi digital, rumusan sambungan perusahaan dan kemudahan pintar bersepadu, mewujudkan ekosistem telekomunikasi bagi menyokong peralihan digital berterusan Sarawak. 

 

Dengan rangkaian telekomunikasi yang kukuh dan sedia masa depan, Sarawak bersedia untuk membuka peluang baharu dalam perkhidmatan digital, industri pintar dan pelaburan bernilai tinggi, memperkukuh kedudukannya sebagai hab utama untuk peralihan digital di Malaysia.

 

EDOTCO dan KRSB sedang meletakkan asas untuk Sarawak menjadi destinasi pelaburan utama bagi industri yang didorong oleh teknologi. 

 

Kerjasama berkenaan melengkapkan Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) dan pelaburan negeri dalam menara SMART, mengukuhkan kerjasama awam-swasta untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan inklusiviti sosial. 

 

Inisiatif itu juga sejajar dengan pelaburan RM2.25 bilion kerajaan Sarawak dalam kemudahan telekomunikasi, mencerminkan komitmen yang kukuh terhadap peralihan digital. - DagangNews.com