KUALA LUMPUR 4 Mac - Eco World Development Group Bhd, akan menjual sebidang tanah industri bernilai RM119 juta kepada sebuah syarikat China yang ingin membina sebuah kilang pembuatan peralatan solar.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Malaysia, Liew Tian Xiong berkata, penjualan tanah seluas 13.31 hektar di Eco Business Park II di Senai, Johor, itu dibuat susulan pengumuman terdahulu oleh Ningbo Deye Technology Co Ltd untuk melabur sehingga RM668 juta bagi membangunkan kilang berkenaan.
"Sebagai pengeluar utama sistem fotovolta solar yang lengkap, kehadiran Deye di sini amat selari dengan matlamat kami untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang memberi sumbangan positif dalam mengurangkan jejak karbon," katanya dalam satu kenyataan.
Inverter solar Deye dilaporkan memaksimumkan kecekapan, mengurangkan pembaziran tenaga dan menyokong peralihan negara ke arah rumusan tenaga yang mampan, jimat kos dan mesra alam.
Deye akan menghasilkan inverter solar dan sistem penyimpanan tenaga di Eco Business Park II.
Pelaburan Deye dijangka merancakkan industri solar Malaysia dengan mewujudkan peluang pekerjaan dalam pembuatan, pemasangan dan penyelenggaraan, susulan permintaan pasaran Asia Tenggara yang semakin meningkat.
"Keputusan Deye untuk membuat pelaburan sebesar ini di Iskandar Malaysia juga menggambarkan kejayaan negeri ini dalam menarik pengeluar berteknologi tinggi dan bernilai tambah untuk membangunkan rantai bekalan hijau negara," tambah Tian Xiong. - DagangNews.com








