Econpile perlukan 2 lagi kontrak capai sasaran penambahan projek sebanyak RM400 juta pada FY25 - CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Econpile perlukan 2 lagi kontrak capai sasaran penambahan projek sebanyak RM400 juta pada FY25 - CGS International

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jun - Econpile Holdings Bhd memerlukan hanya dua lagi kontrak bagi mencapai sasaran penambahan projek baharu sebanyak RM400 juta pada FY25 bagi menyamai pencapaian FY24, kata CGS International.

 

Katanya, kontrak baharu yang diraih kumpulan itu adalah pakej subkontrak kerja cerucuk bernilai RM42.8 juta bagi projek LRT Mutiara Line di Pulau Pinang yang menjadikan jumlah kontrak yang dimenangi setakat ini sekitar RM333 juta dan jumlah buku tempahan sebanyak RM487 setakat Jun 2025. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat itu juga sedang membida satu lagi pakej cerucuk yang lebih besar untuk projek LRT Pulau Pinang, yang dijangka dianugerahkan menjelang suku ketiga tahun tahun ini.

 

"Menjelang FY26, Econpile masih belum mengumumkan sasaran baharu, namun percaya angka tersebut sepatutnya lebih tinggi berbanding FY25, memandangkan landskap tender dijangka bertambah baik sejajar dengan persekitaran kos yang lebih rendah dan aliran projek yang semakin meningkat.

 

"Pada pandangan kami, kebimbangan terbesar pelabur terhadap Econpile ialah pemulihan pendapatan yang lebih perlahan daripada jangkaan," katanya dalam satu nota kajian.

 

CGS International berkata, dengan siapnya semua projek legasi dengan margin rendah, ia akan membuka laluan kepada prestasi pedapatan lebih baik.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan itu menjangkakan peningkatan pendapatan pada 4QFY25F namun pemulihan yang lebih ketara dijangka mula dilihat pada 1QFY26 memandangkan pembinaan projek Face 3 hanya disambung semula pada Mei 2025.

 

Selain itu, syarikat menyatakan margin untung kasar bagi 2QFY25 dan 3QFY25 antara 10%-13% lebih mencerminkan prestasi projek semasa, dengan ruang untuk penambahbaikan memandangkan persekitaran kos bahan mentah yang lebih stabil. Kitaran penukaran tunai syarikat juga telah menunjukkan peningkatan sejak FY22.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "tambah" dengan harga sasaran 46 sen sesaham. - DagangNews.com