Econpile berdepan tekanan kos meningkat, sedia guna klausa 'force majeure' jika gangguan bekalan semakin serius - CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Econpile berdepan tekanan kos meningkat, sedia guna klausa 'force majeure' jika gangguan bekalan semakin serius - CGS International

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 April - Econpile Holdings Bhd berdepan tekanan kos yang semakin meningkat susulan lonjakan harga diesel dan bahan binaan, namun kedudukan aliran tunai kumpulan kekal stabil setakat ini, menurut CGS International.

 

Firma pelaburan itu berkata, dalam sesi pertemuan bersama pelabur pada 2 April, pihak pengurusan memaklumkan bahawa harga diesel telah meningkat dua kali ganda manakala harga konkrit naik sekitar 10% sejak konflik Amerika Syarikat-Iran bermula Februari lalu.

 

Walaupun diesel hanya menyumbang kira-kira 3% kepada kos jualan (COGS), kenaikan harga minyak tetap memberi tekanan kepada margin keuntungan kasar (GP) kumpulan yang berada pada paras sekitar 9% hingga 10% bagi buku pesanan semasa bernilai RM659 juta.

 

Menurutnya, Econpile kini sedang berunding dengan pelanggan bagi berkongsi kenaikan kos dan tidak menolak kemungkinan menggunakan klausa 'force majeure' atau 'keadaan luar jangka' sekiranya gangguan bekalan bahan mentah menjadi lebih serius.

 

“Buat masa ini, kami tidak melihat sebarang tekanan terhadap aliran tunai dan pembayaran daripada pelanggan, yang kebanyakannya pemaju tahap 1, kekal lancar,” katanya.

 

Dari segi takrifan undang-undang, 'force majeure' merujuk kepada klausa kontrak yang membebaskan pihak-pihak yang terlibat daripada tanggungjawab atau liabiliti apabila berlakunya kejadian di luar jangkaan yang menghalang pelaksanaan kontrak tersebut.

 

Sementara itu CGSI berkata, Econpile mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh dengan nisbah gearan bersih rendah sebanyak 0.09 kali setakat 31 Disember 2025, disokong aliran tunai operasi yang mantap.

 

Dari segi operasi, Econpile mencatat perolehan kontrak baharu sebanyak RM337 juta setakat tahun kewangan FY6/26F, iaitu 84% daripada sasaran RM400 juta.

 

Walaupun berdepan persekitaran kos yang mencabar, syarikat masih tidak melihat penurunan dalam aktiviti tender, namun menjangkakan tempoh sah tender mungkin dilanjutkan sekiranya ketidaktentuan berterusan.

 

Bagi projek baharu, Econpile merancang untuk memasukkan klausa tambahan dalam kontrak bagi mengurangkan risiko kenaikan kos bahan mentah, dengan maklum balas awal daripada pelanggan utama dilihat positif.

 

Kumpulan itu juga berhasrat meningkatkan penyertaan dalam projek infrastruktur seperti Lebuhraya North Pantai Expressway 2 (NPE2), yang dilihat mampu mengurangkan risiko kos kerana perolehan bahan mentah diuruskan oleh kontraktor utama.

 

CGSI bagaimanapun menurunkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY26 hingga FY28 antara 40% hingga 58% berikutan jangkaan margin yang lebih rendah serta semakan turun sasaran perolehan kontrak.

 

Harga sasaran turut dikurangkan kepada RM0.24, namun saranan ‘Add’ dikekalkan berikutan penilaian saham yang dianggap terlebih jual, kini didagangkan sekitar 0.4 kali nilai buku.

 

Antara pemangkin utama termasuk potensi pemeteraian projek Sungai Klang Link, pelaksanaan projek infrastruktur mega serta penurunan tekanan kos, manakala risiko utama melibatkan kelewatan projek dan kenaikan berterusan harga bahan mentah. - DagangNews.com