Eco World jual tanah seluas 56 hektar di Iskandar Malaysia berharga RM694 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eco World jual tanah seluas 56 hektar di Iskandar Malaysia berharga RM694 juta

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Feb - Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) menjual tanah seluas 56 hektar di Iskandar Malaysia pada harga RM694 juta secara tunai. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu berkata, anak syarikat miliknya, Eco Business Park 1 Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli dengan Microsoft Payments (Malaysia) Sdn Bhd. 

 

Katanya, tanah seluas 56 hektar itu merupakan tanah pegangan bebas dalam Eco Business Park I, Iskandar Malaysia.

 

"Menjual tanah perindustrian kepada pemain global sejajar dengan strategik kami untuk mengembangkan Eco Business Park dan tonggak pendapatan Quantum.

 

"Penjualan tanah itu menyokong pembangunan pusat data, mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab bagi pengendali pusat data berskala besar," katanya.

 

Ini menandakan perjanjian tanah strategik kedua antara EcoWorld Malaysia dan Microsoft Payments (Malaysia) Sdn Bhd bagi pembangunan pusat data.

 

Eco World berkata, sebahagian daripada hasil itu akan digunakan untuk menyiapkan baki infrastruktur utama di tanah itu.

 

"Ini termasuk jalan raya, utiliti, saliran dan kemudahan penting lain yang diperlukan untuk pembangunan.

 

“Kerja-kerja infrastruktur dan kos berkaitan ini dijangka siap dalam tempoh 24 bulan selepas perjanjian dimeterai.

 

“Kami juga akan menampung kos berkaitan urus niaga itu, seperti yuran guaman, cukai dan perbelanjaan pentadbiran.

 

"Baki dana akan digunakan untuk modal kerja EcoWorld Malaysia," katanya.

 

Katanya, cadangan penjualan tanah tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan berbayar serta pegangan saham pemegang saham besar EcoWorld Malaysia.

 

"Setelah penjualan tanah itu siap, ia dijangka meningkatkan aset bersih dan penggearan kumpulan memandangkan lebihan tunai bagi menyiapkan kerja-kerja infrastruktur yang tinggal dan untuk membayar perbelanjaan berkaitan.


"Penjualan tanah ini dijangka siap pada separuh pertama tahun kalendar 2026," katanya.  - DagangNews.com