KUALA LUMPUR 25 Mei – Penyedia perkhidmatan bahan kimia industri khusus, Eckem Holdings Berhad menyasarkan untuk mengumpul sebanyak RM15 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Kumpulan itu melancarkan prospektusnya bagi pelaksanaan IPO yang melibatkan terbitan awam sebanyak 125 juta saham baharu pada harga RM0.12 sesaham.
IPO tersebut turut melibatkan tawaran jualan sebanyak 62.5 juta saham sedia ada, menjadikan keseluruhan saham yang ditawarkan mewakili 30% daripada modal saham terbitan diperbesarkan syarikat sebanyak 625 juta saham.
Daripada jumlah hasil yang bakal diperoleh, sebanyak RM6 juta diperuntukkan bagi pembinaan pejabat korporat, gudang dan makmal baharu untuk memperkukuh infrastruktur operasi kumpulan.
Selain itu, RM2 juta akan digunakan untuk pengembangan barisan pengeluaran baharu bagi segmen produk getah dalam usaha meningkatkan kapasiti pembuatan syarikat.
Sebanyak RM1.45 juta pula diperuntukkan bagi pembayaran balik pinjaman bank untuk mengoptimumkan struktur modal kumpulan, manakala RM1.75 juta akan digunakan sebagai modal kerja.
Baki RM3.8 juta daripada hasil IPO tersebut akan digunakan untuk menampung kos penyenaraian syarikat di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Pengarah Eksekutif Eckem Holdings, Tan Khai Jeik berkata pelancaran prospektus itu menjadi satu pencapaian penting dalam perjalanan korporat syarikat.
Beliau berkata, selama ini syarikat berjaya membina hubungan kukuh dengan pelanggan industri melalui penyediaan bekalan yang konsisten, sokongan formulasi aplikasi serta kepakaran teknikal.
“Menerusi IPO ini, kami berhasrat memperkukuh keupayaan operasi, mengembangkan infrastruktur dan meningkatkan keupayaan dalam memenuhi keperluan aplikasi pelanggan bagi menyokong sektor pembuatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan M&A Securities Sdn Bhd, Datuk Bill Tan berkata Eckem Holdings memiliki kedudukan kukuh dalam segmen bahan kimia industri khusus menerusi keupayaannya menyediakan rumusan kimia tersuai kepada pelanggan.
“Pertumbuhan berterusan sektor industri dan pembuatan Malaysia meletakkan syarikat pada kedudukan baik untuk merebut peluang baharu serta menjana pertumbuhan mampan selepas disenaraikan nanti,” katanya.
Eckem Holdings yang ditubuhkan pada 2007 menjalankan perniagaan pengedaran, jualan dan formulasi aplikasi bahan kimia industri khusus selain turut terlibat dalam pembuatan dan perdagangan produk getah berasaskan penjagaan diri dan gaya hidup, dengan kira-kira 94% hasil kewangannya pada tahun kewangan 2025 disumbangkan oleh pasaran Malaysia. - DagangNews.com








