EasyStore, Alliance Bank, Ninja Van dan SUNMI perkasa 1,000 PKS menerusi rumusan alat digital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EasyStore, Alliance Bank, Ninja Van dan SUNMI perkasa 1,000 PKS menerusi rumusan alat digital

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 25 Mac - Platform perdagangan bersepadu EasyStore, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Alliance Bank, Ninja Van dan SUNMI bagi meningkatkan pengalaman pengguna di platform runcit dan dalam talian, sekali gus memacu inovasi dan pertumbuhan untuk lebih 1,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia. 

 

Berdasarkan kerjasama itu, EasyStore memperkukuh komitmennya terhadap kemajuan PKS menerusi inisiatif Perniagaan Membantu Perniagaan. 

 

MoU tersebut bertujuan mewujudkan ekosistem bersepadu yang melengkapi PKS tempatan dengan rumusan menyeluruh termasuk alat digital, sokongan logistik dan inovasi pembayaran bagi memenuhi jangkaan pembeli celik teknologi masa kini.

 

Ia akan menawarkan rangkaian perkhidmatan yang lengkap untuk mengoptimumkan operasi perniagaan, meliputi peranti IoT pintar EasyStore dan teknologi Sunmi yang membolehkan pemprosesan pembayaran dalam kedai yang lebih pantas dan selamat. 

 

EasyStore dan Ninja Van pula akan meningkatkan logistik dan pelaksanaan dengan penjejakan masa nyata serta pilihan penghantaran yang lebih pantas. 

 

Sementara itu, EasyStore dan Alliance Bank bakal menyediakan rumusan kewangan yang lancar bagi menyokong perkembangan perniagaan, kewangan digital dan fleksibiliti untuk jenama tempatan.

 

Menerusi kerjasama strategik berkenaan, ribuan PKS Malaysia akan memperoleh akses kepada rumusan perdagangan yang inovatif, memperkasakan syarikat untuk menangani cabaran operasi dan menyediakan pengalaman pelanggan yang unggul. 

 

PKS dijangka menyaksikan peningkatan dalam hasil pendapatan, pengurangan masa penghantaran, serta pengurangan kos operasi sebanyak lebih 25%, seterusnya memacu kecekapan dan pertumbuhan keseluruhan.

 

Ketua Pegawai Perhubungan EasyStore, Soh Yien Yee berkata, inisiatif itu membolehkan perniagaan menguruskan interaksi pelanggan di saluran dalam talian dan luar talian dengan mudah. 

 

"Kami sedang mencipta ekosistem yang akan memperlihatkan perubahan dalam kalangan PKS. Di Malaysia, PKS berdepan cabaran dalam landskap digital yang semakin berkembang. 

 

"Disebabkan garis pemisah antara peruncitan dan e-dagang tidak begitu jelas, kebanyakan perniagaan ketinggalan tanpa alat yang tepat untuk menyepadukan kedua-duanya. Disebabkan itulah lahirnya kerjasama ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau menjelaskan, dengan sektor PKS tempatan terus berkembang, perniagaan perlu melakukan penyesuaian dengan tumpuan kepada saluran digital dan luar talian, serta penyediaan perdagangan bersepadu yang akan membantu perniagaan untuk terus berada di hadapan dan memastikan ia kekal berdaya saing. 

 

Selain itu, EasyStore juga telah melancarkan EasyStore Brand App yang direka untuk membantu perniagaan kekal berhubung dengan pelanggan mereka. 

 

Dengan lebih 70% pembeli memilih untuk membuat pembelian daripada aplikasi di telefon mereka, aplikasi tersebut membolehkan PKS menjadi sebahagian daripada rutin harian pelanggan.

 

Ketua Pegawai Perbankan Perniagaan & Transaksi Kumpulan Alliance Bank, Raymond Chui, menekankan komitmen bank dalam membantu perniagaan tempatan dengan alatan kewangan yang tepat bagi meluaskan potensi mereka sepenuhnya. 

 

"Rumusan kami yang meraih anugerah ini direka untuk membantu perniagaan berkembang dalam ekonomi digital yang pesat berubah. 

 

"Kerjasama dengan EasyStore menandakan satu lagi kemajuan dalam menyediakan PKS dengan sokongan kewangan yang inovatif dan lancar, membolehkan mereka memberi tumpuan kepada perkara yang paling penting: mengembangkan perniagaan mereka," jelasnya.

 

Sementara itu, Ketua Negara SUNMI Malaysia, Victor Tan berpendapat, rumusan IoT Pintar sedang mengubah transaksi runcit. 

 

"Pemprosesan pembayaran yang selamat, lancar dan cekap akan meningkatkan pengalaman pelanggan dan memperkemas operasi perniagaan secara keseluruhan," ujarnya.

 

Ketua Pegawai Jualan Ninja Van Malaysia, Fariz Maswan pula menekankan peranan penting logistik dalam membentuk pengalaman pelanggan. 

 

"Kerjasama ini memastikan penghantaran yang boleh dipercayai dengan penjejakan masa nyata sekali gus meningkatkan kepuasan dan kesetiaan pelanggan," katanya. - DagangNews.com