Dutaland, Olympia Industries cadang tamatkan konsortium 23 tahun babitkan pembangunan tanah di Sri Hartamas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dutaland, Olympia Industries cadang tamatkan konsortium 23 tahun babitkan pembangunan tanah di Sri Hartamas

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 April - Dutaland Bhd bercadang menamatkan konsortium kerjasama yang telah terjalin selama 23 tahun dengan Olympia Industries Bhd susulan perbezaan arah strategik serta ketidakselarasan kepentingan dalam pembangunan baki bank tanah di sekitar kawasan Sri Hartamas.

 

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata cadangan berkenaan melibatkan penamatan perjanjian konsortium bertarikh 14 Februari 2003 antara anak syarikat milik penuhnya, KH Estates Sdn Bhd (KHE) dan Olympia Properties Sdn Bhd (OPSB), unit milik penuh Olympia Industries.

 

Turut terlibat ialah perjanjian pembangunan bertarikh 10 Ogos 2007 yang dimeterai antara KHE, OPSB dan KH Land Sdn Bhd sebagai pemaju yang dilantik.

 

Menurut Dutaland, keputusan tersebut dibuat selepas menilai rangka kerja konsortium dan pembangunan sedia ada tidak lagi membolehkan KHE melaksanakan perancangan secara berkesan bagi bahagiannya dalam bank tanah yang belum dibangunkan.

 

“Perbezaan hala tuju perniagaan antara kedua-dua pihak, khususnya berkaitan pelan masa depan bagi tanah yang belum dibangunkan, turut menjadi faktor kepada cadangan penamatan ini,” katanya.

 

Bank tanah yang dimaksudkan merangkumi sembilan lot dengan keluasan keseluruhan kira-kira 2 juta kaki persegi, terletak di Kuala Lumpur.

 

Dutaland menambah, langkah tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha strategik syarikat untuk menyusun semula perancangan pembangunan hartanahnya agar lebih sejajar dengan objektif jangka panjang kumpulan.

 

Memandangkan cadangan penamatan tersebut diklasifikasikan sebagai transaksi pihak berkaitan, ia tertakluk kepada kelulusan pemegang saham yang tidak berkepentingan dalam satu mesyuarat agung luar biasa (EGM).

 

Dutaland dan Olympia Industries berkongsi pemegang saham utama yang sama, iaitu Tan Sri Datuk Yap Yong Seong, yang juga merupakan pengarah urusan kumpulan bagi kedua-dua syarikat.

 

Yap memegang 57% kepentingan ekuiti dalam Olympia Industries melalui Duta Equities Sdn Bhd dan 65.1% pegangan dalam Dutaland melalui Kenny Height Developments Sdn Bhd. - DagangNews.com