Dua unit pertama tren ART Sarawak lulus ujian di China, sedia dihantar ke Kuching | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dua unit pertama tren ART Sarawak lulus ujian di China, sedia dihantar ke Kuching

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 April - Dua unit pertama tren Transit Aliran Pantas Autonomi (ART) bagi projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) kini sedia untuk dihantar ke Sarawak selepas berjaya menamatkan ujian yang ditetapkan di China.

 

Tren ART yang dikenali sebagai “tren emas” itu dijangka tiba di Kuching dalam suku kedua tahun ini, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pelaksanaan projek berkenaan.

 

 

 

 

 

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts. Mazli Mustaffa bersama pasukan teknikal baru-baru ini telah mengadakan lawatan ke bandar Yibin, China bagi menjalankan pemeriksaan akhir di fasiliti pengeluar tren tersebut.

 

Lawatan itu bertujuan memastikan tahap kesiapsiagaan keseluruhan, kualiti kerja serta pematuhan kepada spesifikasi projek sebelum penghantaran dilakukan.

 

“Kami teruja untuk menyambut ketibaan ‘tren emas’ ini ke Kuching tidak lama lagi dan menantikan permulaan operasi perintis pada tahun ini, sekali gus membawa kita lebih hampir kepada penyediaan sistem pengangkutan awam moden, cekap dan mesra alam untuk rakyat Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

ART1

 

Menurut beliau, Sarawak Metro komited untuk melaksanakan projek KUTS secara selamat, efisien dan mampan, selain menghargai sokongan berterusan orang awam sepanjang pelaksanaan projek tersebut.

 

 

 

 

 

 

 

Setibanya di Sarawak, tren ART berkenaan akan menjalani kerja pemasangan semula gangway di Kemudahan Pemasangan ART Kuching (KAAF).

 

Selepas itu, satu lagi siri ujian akan dijalankan di depot ART di Rembus, Kota Samarahan bagi memastikan kesiapsiagaan operasi sepenuhnya sebelum operasi perintis bermula pada suku keempat tahun ini.

ART2

Turut hadir semasa lawatan ke fasiliti pembuatan ART di Yibin ialah Pengurus Besar Hunan CRRC Intelligent Transport Technology Co Ltd, Peng Zhonghong serta Pengarah EPR Mobilus GR JV Sdn Bhd, Chan Chee Kian. - DagangNews.com