KUALA LUMPUR 26 Jun - Malaysia Airports terus memperkukuh sambungan antarabangsa apabila dua syarikat penerbangan dari China mula menawarkan laluan baharu ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada Mei 2025.
Penambahan itu menjadikan jumlah syarikat penerbangan China yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meningkat kepada sembilan, hampir dua kali ganda berbanding sebelum pandemik Covid-19.
Ia sekali gus mengukuhkan peranan KLIA sebagai hab serantau yang penting bagi menghubungkan Asia Timur Laut dan Asia Tenggara.

Pada 30 April lalu, Sichuan Airlines memulakan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tianfu, Chengdu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN), dengan kekerapan lima kali seminggu.
Ini menandakan kemasukan pertama syarikat tersebut ke wilayah utara Malaysia.
Sementara itu, Hainan Airlines memulakan perkhidmatan terus empat kali seminggu dari Haikou ke KLIA, memperkukuh hubungan udara antara China selatan dan ibu negara Malaysia.

China Eastern Airlines turut memperkenalkan laluan baharu Lanzhou–Kunming–KLIA dengan tiga penerbangan seminggu, bagi memudahkan akses dari wilayah barat laut dan barat daya China ke Malaysia, khususnya untuk pelancongan dan urusan perniagaan.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Dato’ Mohd Izani Ghani berkata, laluan baharu tersebut adalah hasil usaha berterusan untuk merangsang pertumbuhan penumpang dan mengukuhkan hubungan dua hala.
"China kekal sebagai rakan dagang dan pelancongan utama Malaysia.
"Kami komited menyokong perkembangan ini dengan menyediakan kemudahan yang lengkap kepada rakan penerbangan kami," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, sambungan baharu itu juga dijangka menyokong kemasukan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk utama rantau ini.
Pada Mei 2025, lapangan terbang di bawah pengurusan Malaysia Airports mencatatkan sebanyak 8.4 juta pergerakan penumpang, terdiri daripada 4.1 juta penumpang antarabangsa dan 4.3 juta penumpang domestik.
Sementara itu, lapangan terbang milik penuh Malaysia Airports di Turkiye, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen (ISG), turut mencatatkan 4 juta penumpang, termasuk 2.2 juta antarabangsa dan 1.8 juta domestik. - DagangNews.com








