KUALA LUMPUR 29 April – DPS Resources Berhad memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Hangzhou Xinfengwei Network Technology Co Ltd dari China bagi meneroka pembangunan projek infrastruktur pusat data kecerdasan am buatan (AGI) di Melaka.
Syarikat itu berkata MoU berkenaan ditandatangani pada 28 April 2026 menerusi anak syarikat milik penuhnya, DPS Energy Sdn Bhd (DPSE), sebagai sebahagian strategi memperluaskan lagi penglibatan dalam infrastruktur dipacu kecerdasan buatan.
Menurut DPS, Xinfengwei merupakan sebuah syarikat bersekutu kepada Dingding (China) Information Technology Co Ltd yang turut mempunyai kaitan dengan Alibaba Group Holding Limited iaitu sebuah kumpulan teknologi global yang tersenarai di Bursa Saham New York dan Bursa Saham Hong Kong.
Kerjasama yang dicadangkan itu bertujuan untuk meneroka pembangunan kemudahan pusat data AGI generasi baharu, termasuk infrastruktur pengkomputeran berprestasi tinggi, pusat data serta pelaburan teknologi berkaitan di Malaysia.
Di bawah MoU tersebut, DPSE akan menyediakan tanah, bekalan tenaga dan infrastruktur sokongan bagi projek berkenaan, selain bertanggungjawab terhadap pengurusan keseluruhan projek di Malaysia termasuk kelulusan kawal selia, pematuhan peraturan dan hubungan dengan pihak berkuasa tempatan.
DPSE juga akan mengekalkan pemilikan ke atas tanah serta aset infrastruktur yang terlibat dalam pembangunan projek tersebut.
Sementara itu, Xinfengwei akan bertanggungjawab dalam membawa permintaan pengkomputeran global serta pelanggan berpotensi, selain melaksanakan pembangunan pasaran, operasi teknikal serta pengurusan perniagaan harian bagi projek berkenaan.
Kerjasama ini dijangka menjadi platform kepada DPS untuk berkolaborasi dengan syarikat teknologi luar negara serta menarik penyertaan syarikat teknologi besar dunia, pengendali perkhidmatan awan berskala besar dan pelanggan yang membeli kapasiti pusat data bagi pembangunan pusat data di Melaka.
Bagi fasa pertama pembangunan, kedua-dua pihak akan meneroka kapasiti sekitar 150 megawatt (MW) hingga 180MW dengan anggaran kos pembangunan sebanyak AS$7.5 juta bagi setiap MW.
Berdasarkan kapasiti 150MW, nilai projek dianggarkan sekitar AS$1.1 bilion atau kira-kira RM4.36 bilion (AS$/RM: 3.96), tertakluk kepada pengesahan akhir dan terma yang akan dipersetujui dalam perjanjian muktamad.
DPS menjelaskan bahawa MoU tersebut adalah bersifat tidak mengikat dan menjadi langkah awal bagi menilai potensi pembangunan jangka panjang tanah milik syarikat di Melaka.
Menurut DPS, perbincangan akan diteruskan ke arah perjanjian muktamad dengan memberi tumpuan kepada struktur komersial, keperluan teknikal serta pematuhan peraturan, termasuk memastikan terdapat pengaturan yang jelas bagi pihak yang akan menggunakan atau membeli kapasiti pusat data tersebut.
Syarikat itu berkata, pembangunan pusat data AGI berpotensi mewujudkan aliran pendapatan berulang jangka panjang serta menyokong usaha menjadikan Melaka sebagai hab infrastruktur digital yang sedang berkembang, selaras dengan permintaan global terhadap kapasiti pengkomputeran berprestasi tinggi yang semakin meningkat.- DagangNews.com








