DNeX kembali catat untung RM13.5 juta pada 1QFY26, disokong prestasi kukuh semikonduktor dan tenaga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DNeX kembali catat untung RM13.5 juta pada 1QFY26, disokong prestasi kukuh semikonduktor dan tenaga

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 Mei - Dagang NeXchange Berhad (DNeX) kembali mencatat keuntungan pada suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) apabila merekodkan untung selepas cukai (PAT) sebanyak RM13.5 juta berbanding kerugian bersih RM91.9 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat pula meningkat kepada RM12.8 juta berbanding kerugian RM79 juta sebelumnya.

 

Kumpulan dalam kenyataan hari ini berkata, prestasi lebih baik itu disokong peningkatan operasi dalam segmen semikonduktor, tenaga dan teknologi maklumat (IT), selain pelaksanaan disiplin kos yang berterusan.

 

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 20% tahun ke tahun kepada RM81.6 juta berbanding RM67.9 juta sebelumnya.

 

Bagaimanapun, hasil kumpulan menyederhana kepada RM267.6 juta daripada RM296.8 juta pada 1QFY25, terutamanya disebabkan kesan terjemahan mata wang susulan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat dan pound sterling.

 

Tidak termasuk kesan pertukaran mata wang, hasil kumpulan hanya menurun sekitar 2% tahun ke tahun.

 

Segmen Semikonduktor Penyumbang Utama

Segmen semikonduktor terus menjadi penyumbang utama apabila mencatat hasil RM155.1 juta walaupun penghantaran wafer menurun kepada 45,000 unit berbanding 63,000 unit sebelum ini.

 

DNeX berkata, penurunan jumlah penghantaran berjaya diimbangi peningkatan 37% harga jualan purata (ASP) kepada AS$805 setiap wafer berbanding AS$589 sebelumnya.

 

“Peningkatan ASP disokong sumbangan lebih tinggi daripada produk Teknologi Baharu Bernilai Tinggi yang kini menyumbang 55% kepada hasil segmen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Segmen itu kembali mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM0.9 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM10.2 juta setahun lalu hasil campuran produk yang lebih baik dan inisiatif pengoptimuman kos.

 

Dalam segmen tenaga, hasil direkodkan pada RM75.6 juta berbanding RM78.8 juta sebelumnya, namun tidak termasuk kesan mata wang, hasil sebenar meningkat 5% tahun ke tahun.

 

Prestasi itu disokong kenaikan 23% harga purata minyak mentah kepada AS$91.3 setong yang berjaya mengimbangi penurunan jumlah pengeluaran sebanyak 15%.

 

Segmen IT pula mencatat hasil RM36.8 juta, susut 6% berikutan penyiapan projek utama pada suku sebelumnya.

 

Walaupun begitu, keuntungan sebelum cukai segmen meningkat 12% kepada RM16.7 juta disokong margin lebih sihat daripada aktiviti perniagaan semasa dan kontrak jangka panjang yang menyediakan hasil berulang.

 

Baki Tunai, Aset dan Ekuiti

Sehingga 31 Mac 2026, DNeX mempunyai baki tunai sebanyak RM574.7 juta dengan jumlah aset RM3.5 bilion dan ekuiti RM1.7 bilion.

 

Pinjaman kumpulan pula berada pada RM146 juta sekali gus mengekalkan kedudukan tunai bersih yang kukuh.

 

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan DNeX, Vinie Chong Pui Ling berkata, keputusan 1QFY26 menandakan pemulihan kukuh kepada keuntungan kumpulan.

 

“Walaupun pergerakan mata wang asing memberi tekanan kepada prestasi hasil, daya tahan keuntungan dalam semua segmen disokong pelaksanaan operasi yang lebih baik, prestasi margin lebih kukuh dan disiplin kewangan berhemah,” katanya.

 

Beliau berkata, segmen semikonduktor kumpulan terus mendapat manfaat daripada permintaan jangka panjang dipacu kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran berprestasi tinggi, elektronik automotif dan aplikasi pusat data.

 

Katanya, DNeX juga akan terus memberi fokus kepada daya tahan kewangan, pelaburan strategik dan kecemerlangan operasi bagi merebut peluang pertumbuhan dalam sektor semikonduktor, tenaga dan IT. - DagangNews.com