KUALA LUMPUR 11 Mac – Digital Nasional Berhad (DNB) dan Proton Institute memeterai kerjasama penting dalam pembangunan bakat digital negara melalui penubuhan makmal latihan 5G persendirian berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang pertama di Malaysia.
Makmal ini bertempat di Proton Institute, yang sebelum ini dikenali sebagai ADTEC Melaka.
Kerjasama ini adalah satu permulaan langkah strategik dalam memperkasakan kemahiran pelajar TVET dengan pendedahan praktikal menggunakan rangkaian 5G bertaraf industri.
Majlis pelancaran program itu turut menyaksikan penyerahan Surat Hasrat antara DNB dan Proton Institute.
Dokumen ini merangka kerjasama bagi pembangunan sukatan pelajaran 5G, program pemindahan pengetahuan, dan peluang penempatan pelajar secara berstruktur bagi memastikan latihan yang diberikan sentiasa selari dengan keperluan industri.
Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Datuk Azman Ismail berkata pelajar kini dapat belajar bukan sahaja secara teori, tetapi juga melalui pengalaman langsung menggunakan teknologi terkini yang menyokong automasi, kecerdasan buatan (AI) dan kesalinghubungan digital.
“Makmal 5G persendirian ini menyediakan persekitaran pembelajaran imersif masa nyata di mana pelajar didedahkan kepada seni bina rangkaian 5G, operasi rangkaian, pengujian dan pengoptimuman prestasi, sekaligus mempersiapkan mereka menghadapi cabaran industri sebenar,” katanya dalam satu kenyataan.
Integrasi rangkaian 5G membolehkan pelajar belajar menggunakan teknologi yang digunakan dalam pembuatan maju, mobiliti pintar, robotik dan aplikasi AI global.

Proton Institute, sebagai institusi TVET utama di bawah Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Manusia, kini mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat kecemerlangan dalam pembangunan bakat digital.
Melalui inisiatif ini, Proton Institute akan memperkenalkan kursus jangka pendek berstruktur yang menekankan pembelajaran praktikal. Kursus ini merangkumi protokol dan standard rangkaian 5G, model pelaksanaan untuk kegunaan industri sebenar serta operasi rangkaian secara langsung.
Pendekatan ini menandakan peralihan daripada pembelajaran konvensional di dalam kelas kepada pendidikan berasaskan pengalaman.
Sementara itu, Pengarah Proton Institute, Ts. Dr. Norhuda Salim berkata akses kepada infrastruktur 5G secara langsung dan pembangunan sukatan pelajaran secara bersama akan memperlengkapkan pelajar dengan kemahiran yang relevan.
“Inisiatif ini menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi maju yang digital dan dipacu AI,” katanya.
Pelajar kini dapat mengakses rangkaian berprestasi tinggi yang menyokong automasi, sistem AI, pengkomputeran edge, dan persekitaran industri pintar.
Kerjasama ini turut mencerminkan usaha membina ekosistem digital negara yang selari dengan dasar digital, reformasi pendidikan dan pembangunan tenaga kerja.
Graduan TVET bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi juga sebagai pembina, pengendali dan inovator rangkaian generasi baharu. - DagangNews.com








