KUALA LUMPUR 4 Feb - Dividen RHB Bank Bhd dijangka naik kepada 42 sen sesaham bagi tahun kewangan 2024 berakhir pada 31 Disember (FY24), kata Phillip Capital.
Firma penyelidikan itu menjangkakan RHB membayar dividen sebanyak 27 sen sesaham pada suku keempat FY2024 (4QFY24) didorong oleh peningkatan hasil dengan asas pinjaman yang lebih baik dan keuntungan daripada pelupusan perniagaan unit pembrokerannya di Thailand.
Phillip Capital menjangkakan keuntungan teras RHB mencecah RM3 juta bagi FY2024, dengan pertumbuhan keuntungan bersih sebanyak 20% kepada RM704 juta.
“Mengenai pendapatan bukan berasaskan dana, kami menjangkakan RHB akan mengiktiraf keuntungan sekali sahaja sebanyak RM50 juta daripada pelupusan perniagaan pembrokeran Thailandnya.
"Margin faedah bersih (NIM) dijangka ditutup pada 1.88% dan pertumbuhan pinjaman kemungkinan akan meningkat pada 4QFY24 bagi kedua-dua pinjaman komersial dan korporat.
"Ini kerana pemulihan dalam hasil MGS (Sekuriti Kerajaan Malaysia) berkemungkinan mengecilkan perbezaan kos antara terbitan bon baharu dan pinjaman daripada bank.
"Oleh itu, ia akan memacu pertumbuhan pinjaman setahun penuh kepada melebihi 6%," katanya dalam satu nota kajian.
Phillip Capital juga meramalkan penurunan dalam peruntukan, membawa kepada nisbah perlindungan pinjaman terjejas kasar yang lebih kukuh sebanyak 75%, meningkat daripada 70.6% pada 3QFY2024, mencerminkan kualiti aset yang bertambah baik dan pemulihan pinjaman yang berterusan.
“Perbelanjaan operasi dijangka lebih tinggi pada 4QFY2024 disebabkan oleh kos pelupusan perniagaan pembrokeran Thailand (RM15 juta) dan peruntukan bonus yang dipercepatkan,” katanya.
Walaupun begitu, nisbah kos kepada pendapatan RHB kekal pada landasan pada 46%, selaras dengan sasaran pengurusan
"Kami terus menyukai RHB kerana penilaiannya, iaitu 0.86 kali anggaran nilai harga-ke-buku 2025 dengan pulangan 10% ke atas ekuiti dan hasil dividen tinggi sekitar 7%.
"Oleh itu kami menetapkan saranan "beli" ke atas saham RHB dengan harga sasara (TP) sebanyak RM7.50.
"Risiko utama kepada panggilan "beli" kami termasuk pemampatan NIM yang dilanjutkan, asas kos yang meningkat dan kemerosotan kualiti aset," katanya- DagangNews.com








