Dialog mulakan perluasan Fasa 3 Terminal Laut Dalam Pengerang, tambah kapasiti 614,000 meter padu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dialog mulakan perluasan Fasa 3 Terminal Laut Dalam Pengerang, tambah kapasiti 614,000 meter padu

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 April - Dialog Group Berhad memaklumkan bahawa kerja-kerja perluasan Fasa 3 Terminal Laut Dalam (PDT) di Pengerang, Johor telah bermula selepas semua syarat terdahulu dipenuhi.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata projek perluasan itu dijangka siap pada pertengahan tahun 2028 dan akan menambah kapasiti tangki sebanyak 614,000 meter padu bagi produk petroleum ditapis serta biofuel.

 

Projek berkenaan dilaksanakan susulan pemeteraian perjanjian perkhidmatan jangka panjang antara Dialog Terminals Pengerang (5) Sdn Bhd, Dialog Terminals Sdn Bhd dan BP Singapore Pte Ltd sebagai pelanggan utama jangka panjang.

 

Menurut Dialog, pembangunan ini adalah sebahagian daripada pelan pertumbuhan berfasa PDT serta strategi kumpulan untuk meningkatkan pendapatan berulang jangka panjang.

 

Selain itu, peluasan Fasa 3 PDT turut dijangka membuka lebih banyak peluang kepada bahagian kejuruteraan, pembinaan, fabrikasi serta penyelenggaraan loji kumpulan dalam menyediakan perkhidmatan bersepadu.

 

Syarikat itu menegaskan projek berkenaan akan terus memperkukuh kedudukan PDT sebagai hab penyimpanan dan pengendalian cecair utama serantau, selain menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan dalam sektor tenaga dan infrastruktur. - DagangNews.com