DHL, MIDA bekerjasama kukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik serantau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DHL, MIDA bekerjasama kukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik serantau

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid (kiri), dan Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo, pada majlis pertukaran MOU.
Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 26 Jun – DHL menjalinkan kerjasama strategik dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi menarik lebih ramai pelaburan asing ke Malaysia, sekali gus memperkukuh infrastruktur logistik dan rantaian bekalan negara.

 

Di bawah kerjasama yang diperbaharui, keempat-empat bahagian DHL di Malaysia termasuk DHL Express, DHL Supply Chain, DHL Global Forwarding dan DHL eCommerce akan bekerjasama dengan MIDA bagi memperkasa sektor logistik tempatan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, sektor logistik negara kini mengalami transformasi ketara sebagai pemacu utama inovasi serta kemajuan teknologi.

 

"Ia termasuk pengoptimuman laluan berasaskan kecerdasan buatan (AI), penjejakan masa nyata, robotik gudang canggih, dan sistem penghantaran autonomi.

 

"Kerjasama baharu bersama DHL adalah langkah strategik untuk mempercepatkan aspirasi Malaysia menjadi hab logistik pintar terkemuka di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo berkata, dengan peningkatan kebergantungan kepada pelbagai sumber global, Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk merebut peluang tersebut hasil keterhubungan serantau dan ekosistem perniagaan yang kondusif.

 

Kedua-dua pihak telah bekerjasama sejak 2023, dengan membawa pelaburan seperti elektronik, farmaseutikal, ekonomi digital, aeroangkasa dan kimia di lapan negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor, Melaka, Sabah, Sarawak, dan Selangor.

 

Pengarah Urusan DHL Supply Chain Malaysia, Mario Lorenz pula berkata, pelaburan ini termasuk pembukaan hab logistik Penang Logistics Hub 5 dan kemudahan gudang baharu di Selatan Malaysia sejajar dengan objektif.

 

"Gabungan kepakaran logistik kami bersama visi MIDA bukan sahaja meningkatkan daya tahan rantaian bekalan syarikat multinasional, malah menyumbang secara langsung kepada aspirasi ekonomi negara," katanya.

 

Daya tarikan Malaysia turut disokong oleh laporan DHL Global Connectedness Index 2024 yang meletakkan Malaysia di kedudukan ketiga terbaik di Asia Pasifik dan ke-26 di peringkat global.

 

Keempat-empat bahagian global DHL menawarkan perkhidmatan meliputi penghantaran ekspres antarabangsa, pengurusan rantaian bekalan, pengangkutan darat, udara dan laut, serta penghantaran domestik.- DagangNews.com