KUALA LUMPUR 14 Feb - Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Miri, mencadangkan peluasan sistem gas asli oleh Petros bagi menangani kekurangan silinder gas petroleum cecair (LPG) di kawasan tersebut.
Pengerusi cawangan itu, Mohammad Hafidz Rohani berkata, isu berkenaan memerlukan penyelesaian jangka panjang kerana ia boleh memberi kesan kepada peniaga dalam sektor makanan dan minuman, serta isi rumah yang bergantung kepada silinder gas untuk kegunaan harian.
"DUBS mencadangkan agar pembinaan kemudahan gas asli dipercepatkan di Miri untuk kegunaan isi rumah, sekolah dan perniagaan, yang dapat mengurangkan kebergantungan terhadap silinder gas dan menyediakan sumber tenaga yang lebih stabil serta kos yang lebih berkesan," katanya dalam satu kenyataan seperti satu laporan media.
Menurut Mohammad Hafidz, lebih 100 peniaga dan pengguna dilaporkan terpaksa beratur berjam-jam pada 13 Februari lalu di pelbagai kedai bagi mendapatkan bekalan LPG.
"Biarpun terpaksa menunggu lama, ramai pengguna gagal mendapatkan stok kerana kekurangan bekalan.
"Keadaan ini menyebabkan gangguan besar dalam operasi perniagaan dan menambah kesukaran bagi penduduk di tengah-tengah kenaikan kos sara hidup," ujarnya.
Sehubungan itu katanya, DUBS Miri menggesa langkah segera dan jangka panjang untuk menangani krisis tersebut, sambil mendesak pihak berkuasa dan pembekal bertindak pantas.
Katanya, selain meluaskan sistem gas asli Petros, cadangan lain termasuk meningkatkan bekalan segera, mempercepatkan pengedaran dan menubuhkan mekanisme kawalan stok, serta memantau rantaian bekalan dan memastikan pengagihan yang adil antara isi rumah dan perniagaan.
"Kami berharap pihak yang berkenaan akan memandang isu ini dengan serius dan melaksanakan langkah proaktif untuk memastikan kestabilan bekalan tenaga bagi masyarakat dan perniagaan di Miri," jelasnya.
Beliau menambah, DUBS Miri bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian terbaik demi manfaat rakyat dan kelangsungan perniagaan. - DagangNews.com








