Destini serahkan laporan tahunan lebih awal, elak dagangan saham digantung Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Destini serahkan laporan tahunan lebih awal, elak dagangan saham digantung Bursa Malaysia

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 5 NovDestini Bhd menyerahkan Laporan Tahunan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY2025) lebih awal daripada tarikh akhir 7 November ini, sekali gus mengelak risiko penggantungan dagangan di Bursa Malaysia.

 


Menurut syarikat kejuruteraan itu, kelewatan tersebut disebabkan keperluan masa tambahan untuk memuktamadkan audit serta penyatuan anak-anak syarikat luar negara yang baru diperoleh.

 

“Dengan semua proses audit kini selesai, kumpulan telah memuktamadkan penyata kewangan dan berjaya menyiarkan laporan tahunan lebih awal daripada jangkaan,” kata Destini dalam satu kenyataan.

 

Destini sebelum ini terlepas tarikh akhir asal pada 31 Oktober 2025 untuk menyiarkan laporan tahunan yang merangkumi penyata kewangan beraudit, laporan juruaudit dan laporan pengarah.

 

Syarikat diberikan lanjutan tempoh sehingga 7 November 2025, dan sekiranya gagal berbuat demikian, sahamnya akan digantung daripada dagangan bermula 10 November, menurut pemakluman Bursa Malaysia sebelum ini.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Destini, Ismail Mustaffa berkata, pihak syarikat berbesar hati dapat menyiarkan Laporan Tahunan 2025 tepat pada masanya. 

 

"Penyempurnaan laporan ini mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap ketelusan, akauntabiliti serta komunikasi yang tepat waktu kepada para pemegang saham dan pihak berkepentingan,” ujarnya.

 

Destini kini menunjukkan tanda pemulihan selepas melaksanakan porfolio strategik ke sektor rel, meninggalkan kebergantungan tradisi terhadap kontrak pertahanan.

 

Bagi tahun kewangan 2025, syarikat mencatat untung bersih RM28.18 juta daripada hasil sebanyak RM340.49 juta.

 

Tiada perbandingan tahunan disediakan kerana kumpulan bertindak menukar tarikh akhir tahun kewangannya daripada 31 Disember kepada 30 Jun mulai tahun 2024.

 

Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2025, Destini merekodkan untung bersih RM8.44 juta, berbanding kerugian RM97.22 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Hasil suku berkenaan juga melonjak hampir tiga kali ganda kepada RM90.28 juta, daripada RM31.74 juta sebelumnya. - DagangNews.com