KUALA LUMPUR 26 Jun - Penyedia perkhidmatan kejuruteraan, Destini Bhd, memperoleh dua subkontrak untuk memperbaiki sistem hawa dingin dan brek bagi 58 set tren elektrik di Laluan MRT1 dari Sungai Buloh ke Kajang.
Menurut Destini, kerja-kerja tersebut akan dijalankan selama 20 bulan, bermula Jun 2025 hingga Januari 2027.
Nilai kontrak itu bagaimanapun tidak didedahkan.
"Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh anak syarikat Destini, Trovon Malaysia Sdn Bhd dengan SMH Rail Sdn Bhd," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Trovon menjalankan kerja penyelenggaraan rel, manakala SMH Rail terlibat dalam pembuatan dan jualan produk berkaitan rel.
Destini menjangka projek tersebut akan memberi kesan positif kepada pendapatannya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 dan sepanjang tempoh kerja dijalankan. - DagangNews.com








