KUALA LUMPUR 11 Feb - Destini Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM7.2 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2025, didorong sumbangan kukuh menerusi segmen mobiliti.
Selain itu katanya, inisiatif pengoptimuman kos secara berterusan, berjaya meningkatkan angka tersebut berbanding sebanyak RM6.07 juta yang dicatatkan bagi suku sama pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun kumpulan mencatatkan perolehan sebanyak RM79.41 juta bagi suku dalam tinjauan, sedikit susut sebanyak 5% daripada RM83.56 juta pada 2QFY25 akibat pengurangan aktiviti yang tertentu.
"Kemerosotan hasil berkenaan termasuk untuk perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) dalam sektor marin dan tenaga," tambah Destini dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Bagi tempoh enam bulan pertama FY26 jelasnya, keuntungan bersih melonjak 17% kepada RM13.34 juta berbanding RM11.40 juta dalam tempoh sama tahun lalu, mencerminkan trajektori pertumbuhan kukuh.
Sektor mobiliti tambahnya, berjaya menjadi penyumbang utama dengan perolehan terbesar iaitu sebanyak RM46.15 juta berikutan penghantaran tiga unit tren kepada Kementerian Pengangkutan.
Sektor penerbangan dan pertahanan pula kata Destini, mencatatkan pertumbuhan perolehan kepada RM24.47 juta dengan keuntungan bersih sebanyak RM3.58 juta susulan peningkatan aktiviti MRO.
"Sektor tenaga namun mengalami kerugian bersih mencecah sebanyak RM1.34 juta berikutan pengurangan dalam aktiviti yang berkaitan dengan operasi pelantar minyak," jelas kumpulan berkenaan lagi.
Lembaga Pengarah kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 sebagai ganjaran kepada para pemegang saham.
Pengurusan Destini menjangkakan prestasi kewangan memuaskan bagi tahun kewangan akan datang, disokong pelaksanaan kontrak sedia ada dan tahap aktiviti tinggi merentasi sektor. - DagangNews.com








