KUALA LUMPUR 19 Jun - Deleum Berhad menerusi Turboservices Sdn Bhd menerima kontrak 5 tahun daripada Hess Exploration and Production Malaysia BV bagi penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan bahan bagi turbin gas solar (GTG) untuk Lembangan Melayu Utara.
Kumpulan itu berkata, skop pekerjaan bagi kontrak itu termasuk servis alat ganti, panggilan perkhidmatan lapangan, gantian enjin, pengurusan kesihatan peralatan dan perkhidmatan penyelenggaraan lain untuk turbin gas solar.
"Jumlah kontrak adalah tertakluk kepada tempahan kerja dan ia bermula pada 10 Jun 2025," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih Deleum dan kumpulan syarikatnya sepanjang tempoh kontrak.
Ia bagaimanapun tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan/atau struktur pegangan saham Deleum.
"Kontrak ini dijangka dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman," katanya.- DagangNews.com








