KUALA LUMPUR 18 Feb - Deleum Bhd menerusi Deleum Oilfield Services Sdn Bhd menerima kontrak selama lima tahun daripada Petronas Carigali Sdn Bhd bagi menyediakan perkhidmatan dan peralatan penyelenggaraan telaga (slickline) untuk Pakej A1.
Kumpulan itu berkata, kontrak itu merangkumi penyediaan tenaga kerja, alatan, peralatan, bahan, bahan habis pakai, dan perkhidmatan lain yang berkaitan.
"Kontrak itu ada;ah bagi tempoh lima tahun bermula 16 April 2025," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Deleum berkata, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh projek selain ia tidak mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan/atau struktur pegangan saham syarikat.
Ia juga dijangka dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman luar.
"Risiko berkaitan dengan kontrak tidak terhad kepada risiko keselamatan pekerjaan dan risiko pelaksanaan seperti ketersediaan tenaga mahir, perubahan dalam kos tenaga kerja dan faktor material seperti perubahan dalam keadaan politik, ekonomi serta peraturan," katanya.- DagangNews.com








