KUALA LUMPUR 9 April - Dayang Enterprise Holdings Bhd menerusi DESB Marine Services Sdn Bhd meraih dua kontrak baharu daripada Petronas Carigali Sdn Bhd bagi penyediaan kapal penginapan pekerja.
Kumpulan itu berkata, kontrak pertama melibatkan kapal Dayang Berlian dengan tempoh perkhidmatan selama 975 hari dengan pilihan lanjutan sehingga 890 sehari.
Katanya, bagi kontrak kedua, ia melibatkan kapal Dayang Pertama dengan tempoh perkhidmatan 244 hari dengan pilihan lajutan sehingga 60 hari.
"Nilai keseluruhan adalah berdasarkan perintah kerja yang dikeluarkan oleh Petronas Carigali sepanjang tempoh kontrak," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu berkata, kontrak itu tidak akan memberi kesan ke atas modal terbitan dan dijangka menyumbang kepada pendapatan Dayang.
Faktor risiko yang mempengaruhi kontrak termasuk risiko pelaksanaan seperti ketersediaan tenaga kerja mahir dan bahan, perubahan harga bahan dan perubahan keadaan politik, ekonomi dan peraturan.
DESB Marine perlu memastikan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan dan operasi dalam pelaksanaan keperluan di bawah kontrak. - DagangNews.com








