Dayang diunjur raih untung bersih RM18 juta daripada 3 kontrak baharu sewa kapal - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dayang diunjur raih untung bersih RM18 juta daripada 3 kontrak baharu sewa kapal - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Mac - Kejayaan Dayang Enterprise Holdings Bhd meraih tiga kontrak baharu daripada Petronas Carigali Sdn Bhd bagi penyediaan kapal penginapan pekerja diunjur menyumbang untung bersih sekurang-kurangnya RM18 juta setahun.

 

Kenanga Research berkata, kumpulan itu melalui anak syarikatnya DESB Marine Services Sdn Bhd menerima tiga pesanan kerja daripada Petronas Carigali bagi penyediaan tiga unit bot kerja penginapan – iaitu Opal, Zamrud dan Ruby.

 

Katanya, tarikh mula masing-masing dijadualkan pada 23 Januari, 7 Februari dan 20 Februari 2025, dengan tempoh sewaan antara 1,005 hari hingga 1,043 hari.

 

Walaupun nilai kontrak tidak didedahkan, Kenanga Research menganggap anugerah itu selaras dengan jangkaan.

 

"Berdasarkan penanda aras pasaran baru-baru ini, kami menganggarkan kadar sewaan harian (DCR) adalah sebanyak RM80,000.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Dayang raih tiga lagi kontrak kapal penginapan dari Petronas Carigali

 

"Ia adalah selaras dengan andaian kami sebanyak 82% penggunaan kapal dan DCR sebanyak RM81,000 untuk bot kerja penginapan.

 

"Dengan andaian margin keuntungan sebanyak 26%, kami mengunujurkan setiap sewaan akan menyumbang sekurang-kurangnya RM6 juta kepada untung bersih kumpulan setiap tahun," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kontrak itu akan mengukuhkan lagi keterlihatan pendapatan Dayang pada FY25.

 

Katanya, kontrak itu juga mengukuhkan kedudukan Dayang dalam segmen sokongan luar pesisir yang berfokuskan penyelenggaraan dan menyokong prospek penggunaan kapalnya pada FY25.

 

"Kami mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran RM3.39 sesaham," katanya. - DagangNews.com