Dayang raih tiga lagi kontrak kapal penginapan dari Petronas Carigali | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dayang raih tiga lagi kontrak kapal penginapan dari Petronas Carigali

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 25 Mac - Dayang Enterprise Holdings Bhd menerusi anak syarikatnya, DESB Marine Services Sdn Bhd, meraih tiga kontrak baharu daripada Petronas Carigali Sdn Bhd untuk penyediaan kapal penginapan pekerja.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak-kontrak tersebut melibatkan penyediaan tiga kapal, masing-masing dengan tempoh perkhidmatan melebihi 1,000 hari dan tempoh lanjutan pilihan sehingga 829 hari.

 

"Nilai keseluruhan kontrak akan ditentukan berdasarkan perintah kerja yang dikeluarkan oleh Petronas Carigali sepanjang tempoh kontrak," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Dalam perkembangan berasingan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kembali menjadi pemegang saham utama dalam Dayang, selepas meningkatkan pegangan sahamnya kepada 59.73 juta saham, mewakili 5.16% kepentingan.

 

"Pegangan saham dana pencen itu meningkat melalui pembelian 2.52 juta saham Dayang di pasaran terbuka pada 19 Mac 2025," jelas institusi tersebut juga dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

KWSP tidak lagi menjadi pemegang saham utama dalam Dayang pada Februari 2024, apabila pegangan sahamnya jatuh kepada 55.39 juta saham.

 

Pemegang saham terbesar Dayang adalah kumpulan pelbagai industri Naim Holdings Bhd yang memiliki 24.22% kepentingan dalam kumpulan itu, diikuti oleh pengasas Dayang dan Timbalan Pengerusi, Datuk Ling Suk Kiong dengan pegangan 7.21% dan KWSP dengan 5.16%. - DagangNews.com