KUALA LUMPUR 28 Jan - Datasonic Group Berhad memperoleh lanjutan setahun kontrak membekalkan cip pasport kepada kerajaan Malaysia dengan nilai kontrak tambahan sebanyak RM104.78 juta.
Perkembangan terbaharu ini mengukuhkan reputasi Datasonic sebagai pemain terkemuka dalam pasaran identiti keselamatan.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Datasonic memaklumkan anak syarikat milik penuhnya, Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) menerima surat pelanjutan bertarikh 16 Januari 2025 daripada Kementerian Dalam Negeri.

"Kontrak tersebut adalah untuk membekalkan cip pasport Malaysia kepada Jabatan Imigresen Malaysia.
"Kontrak ini pada asalnya diberikan pada 15 Disember 2015, dengan tempoh lima tahun atau 12.5 juta cip pasport.
"Sambungan kontrak terkini bermula pada 1 Disember 2024 dan berakhir pada 30 November 2025," menurut Datasonic dalam pemakluman bursa.
Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan masa depan Kumpulan dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 dan tahun kewangan selepas itu, untuk tempoh daripada kontrak tersebut. - DagangNews.com








