KUALA LUMPUR 25 Mac - Ketidakpastian yang timbul daripada dasar di bawah pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mungkin menimbulkan kebimbangan besar terhadap industri perabot, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, Poh Huat Resources Holdings Bhd menyaksikan penurunan keuntungan suku tahunan sebanyak 20% kepada RM8.5 juta walaupun pendapatan meningkat 3.9% kepada RM136.3 juta bagi suku pertama berakhir 31 Januari 2025.
TA Securities berkata, untung suku tahunannya berada dalam jangkaan, menyumbang 20.1% dan 21.2% daripada anggarannya dan konsensus setahun penuh.
Penurunan itu disebabkan margin kasar yang lebih rendah, hasil daripada kos bahan yang lebih tinggi dalam operasi di Vietnam. Keuntungan kasar bagi operasinya di Vietnam merosot sebanyak 79.7% kepada RM1.1 juta.
Katanya, peningkatan hasil itu disebabkan musim kemuncak dalam penghantaran menjelang musim perayaan.
Kesan terhadap operasi di Vietnam diimbangi pertumbuhan hasil lebih tinggi dalam operasi domestiknya, didorong peningkatan permintaan untuk perabot pejabat.
"Hasilnya, operasi Malaysia mencatatkan peningkatan 39.6% dalam keuntungan kasar kepada RM11.4 juta. Kunci kira-kira pembuat perabot kekal kukuh, dengan hutang sifar dan kedudukan tunai bersih RM288.7 juta," katanya dalam satu nota kajian.
TA Securities mengekalkan unjuran tahun kewangan 2025 (FY25) hingga FY27 tetapi mengurangkan harga sasaran daripada 9x kepada 7x untuk mengambil kira potensi risiko dasar daripada pentadbiran Trump.
“Selepas melancarkan tahun asas penilaian kami ke tahun 2026, kami menurunkan harga sasaran daripada RM1.40 kepada RM1.25 sesaham,” katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "pegang" tetapi berkata kunci kira-kira yang sihat akan membantu kumpulan itu berdepan peningkatan kos.
Dalam laporan kewangannya, kumpulan itu menyatakan, industri perabot di AS bukan sahaja dipengaruhi dasar perdagangan tetapi juga turun naik pasaran perumahan, peralihan tingkah laku pengguna dan faktor ekonomi yang lebih luas.- DagangNews.com








