KUALA LUMPUR 14 Jan - USANITA Sdn. Bhd. kini memperluas sayapnya ke pasaran global dengan mempromosikan fesyen sopan halal (halal modest fashion - HMF) di negara-negara Islam yang mempunyai hampir 2 bilion penduduk.
Inisiatif ini menekankan bukan sahaja pakaian yang menutup aurat, tetapi juga ketelusan rantaian bekalan, penggunaan bahan halal, serta amalan kerja yang beretika dan patuh syariah, sejajar dengan keperluan pengguna Muslim moden.
Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datuk Adzliana Hasan berkata di Istanbul sebagai contoh, fesyen sopan halal mempunyai potensi yang besar kerana umat Islam kini bukan sahaja memilih pakaian yang menutup aurat tetapi turut mementingkan ketelusan rantaian bekalan, merangkumi bahan mentah yang halal serta amalan kerja beretika dan patuh syariah.
Inisiatif HMF tersebut juga dibuat bagi memanfaatkan momentum hubungan Malaysia–Türkiye yang diperkukuh melalui lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Türkiye minggu lepas.
“Melalui kajian dan maklum balas yang kami terima, umat Islam di banyak negara kini mahu mendapatkan maklumat sama ada pakaian mereka diperbuat daripada bahan yang halal serta tidak melibatkan perkara-perkara yang ditegah Islam, termasuk penindasan dan eksploitasi pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar hari ini. Turut serta Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Istanbul, Sadat Foster Maad.
Potensi Pasaran Fesyen Halal Global
Adzliana berkata unjuran industri menunjukkan perbelanjaan pengguna Muslim bagi kategori pakaian dan kasut sahaja bernilai AS$327 bilion pada tahun 2023 dan ia dijangka meningkat kepada AS$433 bilion menjelang 2028.
Sementara itu, Amiri berkata usahawan Malaysia seharusnya merebut peluang untuk meneroka perniagaan di Istanbul, terutamanya berkaitan fesyen, penginapan, dan penyediaan makanan Malaysia.
“Kita menyambut baik inisiatif yang diambil USANITA untuk meneroka peluang perniagaan di Istanbul dan yakin ia boleh dilaksanakan kerana hubungan baik antara pemimpin kedua-dua negara serta tanggapan positif rakyat Türkiye terhadap Malaysia,” katanya.
Pada 2024, Türkiye adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (AS$5.28 bilion). Türkiye juga merupakan destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara-negara di Asia Barat.
Amiri berkata Türkiye mempunyai potensi yang besar untuk para usahawan Malaysia apabila Perdana Menteri melahirkan keyakinan bahawa sasaran baharu perdagangan dua hala Malaysia–Türkiye sebanyak AS$10 bilion boleh dicapai dalam beberapa tahun akan datang.

Kemudahan Perdagangan dan Pelaburan di Türkiye
Pada masa yang sama, beliau berkata Malaysia dan Türkiye juga telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang turut memudahkan proses bagi usahawan Malaysia meneroka pasaran dan melabur di Türkiye.
Mengenai strategi pemasaran HMF, Adzliana berkata jenama fesyen di bawah USANITA sendiri, Amber, akan bekerjasama dengan rakan strategik di pelbagai negara Islam seperti Indonesia dan Türkiye untuk menjayakan inisiatif HMF di bawah program “Bridge to Brilliance” (BtB) yang diperkenalkan USANITA.
Menurut Adzliana, platform BtB amat sesuai digunakan untuk mempromosikan konsep HMF kerana jaringan strategik yang telah dibina di Malaysia (BtB 1.0), Indonesia (BtB 2.0), United Kingdom (BtB 3.0), New Zealand/Australasia (BtB 4.0) dan Türkiye (BtB 5.0).
“Kita juga akan membantu rakan-rakan niaga di Malaysia dan negara-negara yang terbabit dengan inisiatif BtB untuk meneroka kerjasama dalam industri makanan dan produk halal, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab halal utama global,” katanya.
Beliau berkata USANITA juga turut menggunakan platform BtB 5.0 untuk membantu mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026) melalui pelbagai aktiviti penggambaran dan fesyen yang kini sedang dijalankan, melibatkan lebih 40 artis dan pasukan sokongan dari Malaysia yang dibawa ke Istanbul oleh USANITA.
Menurut beliau, program BtB 5.0 bukan sekadar lawatan perniagaan ke Türkiye, tetapi merupakan inisiatif strategik yang menggabungkan diplomasi ekonomi, penjenamaan negara, dan industri kreatif yang mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab halal dan pusat pembangunan jenama Islamik global. - DagangNews.com








