Dana RM131.5 juta CoSIF dilancar sokong PMKS dan syarikat pertengahan dalam sektor strategik NIMP 2030 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dana RM131.5 juta CoSIF dilancar sokong PMKS dan syarikat pertengahan dalam sektor strategik NIMP 2030

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa majlis perasmian CoSIF. Gambar/FB Securities Commission Malaysia
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 26 Feb - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melancarkan Dana Pelaburan Bersama Strategik (CoSIF) di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

 

Dengan peruntukan awal sebanyak RM131.5 juta, CoSIF akan diagihkan melalui platform Pendanaan Secara Ekuiti (ECF) dan Pendanaan Peer-to-Peer (P2P) untuk menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan serta syarikat strategik pertengahan (MTC) dalam sektor-sektor strategik.

 

Ia adalah skim pelaburan bersama awam-swasta di mana kerajaan melabur bersama pelabur swasta mengikut nisbah yang ditetapkan dalam perniagaan yang beroperasi di 21 sektor yang digariskan dalam NIMP 2030.

 

Empat sektor pertumbuhan baharu terlibat adalah Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS), kenderaan elektrik (EV), tenaga boleh diperbaharui (RE) dan bahan termaju. 

 

CoSIF yang diuruskan oleh SC, direka sebagai model pembiayaan campuran untuk memanfaatkan sumber pembiayaan tidak konvensional. 

 

Dengan memanfaatkan pasaran modal, ia dapat menggerakkan sumber yang besar untuk membiayai projek-projek berimpak tinggi dalam bidang strategik seperti pembuatan maju, pendigitalan dan pengurangan karbon. 

 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan memperuntukkan jumlah itu untuk menggalakkan syarikat tempatan, khususnya PMKS mengambil bahagian dalam pertumbuhan ekonomi negara. 

 

"Dana CoSIF menunjukkan komitmen kami untuk membiayai PMKS dan syarikat strategik pertengahan bagi menyokong pertumbuhan, inovasi dan ketahanan jangka panjang mereka. 

 

"Inisiatif ini bukan sahaja mempelbagaikan pilihan pembiayaan, tetapi juga mencerminkan komitmen terhadap keterangkuman dengan memudahkan pertumbuhan yang lebih meluas dalam industri," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau semalam melancarkan CoSIF dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi.

 

Tengku Zafrul berkata, peruntukan tersebut hanyalah jumlah permulaan bagi menggalakkan PMKS mengambil bahagian dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan tumpuan kepada sektor di bawah pelan induk perindustrian baharu.

 

"Dana ini akan membantu misi NIMP 2030, sekali gus meletakkan negara di landasan yang tepat untuk menjadi hab perkilangan dan perkhidmatan terulung di rantau ini," ujarnya.

 

Pengerusi SC, Mohammad Faiz dalam pada itu berkata, pelaksanaan NIMP CoSIF melalui platform ECF dan P2P selaras dengan usaha SC untuk memudahkan akses pembiayaan pasaran modal kepada PMKS dan MTC, yang sebelum ini kurang mendapat perhatian. 

 

"Mekanisme pelaburan bersama ini bertujuan untuk membantu perniagaan mengumpul dana serta menjadikan pasaran modal lebih terbuka," jelasnya.

 

Pelan tindakan lima tahun SC untuk mempercepatkan akses PMKS dan MTC ke pasaran modal, Peta Jalan 2024-2028, dilancarkan pada Mei 2024 bagi mengatasi masalah kekurangan pembiayaan untuk PMKS dan MTC melalui pasaran modal.

 

Sebagai sebahagian daripada peta jalan berkenaan, SC juga memperkenalkan Pakej Permulaan Pasaran Modal dan Panduan Pembiayaan yang Dipermudahkan yang dibuat bersama 1,337 syarikat untuk membantu syarikat berkongsi pengalaman perniagaan kepada bakal pelabur.

 

Senarai pengendali ECF dan P2P untuk NIMP CoSIF akan diumumkan sebelum hujung Mac 2025. - DagangNews.com